Talian Pertolongan Kecemasan Psikologi tangani petugas stres

Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang (tiga dari kiri) mewakili WUIF menyerahkan sumbangan 300 al-Quran wakaf kepada Dr Shahabuddin (dua dari kanan) petang semalam.
Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang (tiga dari kiri) mewakili WUIF menyerahkan sumbangan 300 al-Quran wakaf kepada Dr Shahabuddin (dua dari kanan) petang semalam.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Bagi mengelak masalah tekanan atau stres dalam kalangan petugas barisan hadapan, Hospital Sungai Buloh mengambil inisiatif murni memperkenalkan Talian Pertolongan Kecemasan Psikologi sepanjang musim pandemik koronavirus (Covid-19).

Timbalan Pengarah Hospital Sungai Buloh (Klinikal), Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, inisiatif itu juga seiring dengan hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan fasiliti kemudahan terbaik kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus sepanjang masa bagi menangani kes jangkitan Covid-19.

Menurutnya, ia merupakan satu talian panggilan khusus kepada semua kakitangan petugas barisan hadapan di hospital itu untuk membolehkan mereka menghubungi pakar psikiatri dan pakar kaunseling bagi mendapatkan khidmat nasihat.

"Pihak hospital memahami situasi mencabar akibat pandemik Covid-19 menyebabkan sebilangan petugas barisan hadapan menghadapi kesukaran atau stres kerana wabak sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Justeru, kami menyediakan satu talian khusus Pertolongan Kecemasan Psikologi di mana sekiranya terdapat petugas yang mengalami stres sewaktu bekerja, mereka boleh menghubungi talian itu untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kaunseling atau psikologi pada bila-bila masa," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sewaktu menerima sumbangan 300 al-Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui Projek Wakaf al-Quran kepada Hospital Sungai Buloh petang semalam.

Dr Shahabuddin menunjukkan sumbangan al-Quran yang diterima Hospital Sungai Buloh menerusi Projek Wakaf Al-Quran Mu'jam.
Dr Shahabuddin menunjukkan sumbangan al-Quran yang diterima Hospital Sungai Buloh menerusi Projek Wakaf Al-Quran Mu'jam.

Shahabuddin berkata, kebanyakan petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh yang berdepan masalah stres terdiri daripada kakitangan dipinjam dari hospital luar iaitu mereka yang baru pertama kali berhadapan dengan pengendalian pandemik penyakit sebegini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, contoh kebiasaan masalah stres dialami petugas barisan hadapan hospital adalah seperti kerap berasa cemas atau kebimbangan untuk pulang ke rumah bertemu dengan ahli keluarga.

"Kebanyakan mereka rasa bimbang menjadi punca penyebaran Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga masing-masing, namun kita sering kali mengajar kaedah pembersihan diri yang betul.

"Bahkan pengurusan Hospital Sungai Buloh sering melaksanakan audit dari masa ke masa bagi memastikan amalan perlindungan keselamatan petugas barisan hadapan dapat diimplementasi secara tepat dan betul.

"Kesemua inisiatif penting ini sering ditekankan kepada lebih 2,000 petugas barisan hadapan yang berkhidmat di hospital ini kerana paling penting kita mahu mengelakkan mereka dijangkiti Covid-19 daripada pesakit,"katanya.

Dr Shahabuddin turut mendedahkan Hospital Sungai Buloh mengamalkan kaedah penggantian tugasan dalam kalangan petugas secara sistematik bagi memastikan mereka tidak keletihan dan sentiasa bermotivasi melaksanakan amanah diberikan.

Dalam perkembangan lain, Dr Shahabuddin turut berterima kasih kepada WUIF dan orang ramai yang membantu mewakafkan sumbangan al-Quran untuk dimanfaatkan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit hospital itu.