X

Kindly register in order to view this article
!

Dua rakan bantu penduduk terkesan PKP

Effah Juriana memuat naik status di Facebook berhubung bantuan ditawarkan kepada golongan memerlukan.
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang penjawat awam bersama seorang rakannya mengambil inisiatif membantu keluarga yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Effah Juriana Jarmo, 34, berkata, inisiatif itu dilakukan bersama rakannya, Norbaizilah Kandani, 36, bagi membantu penduduk yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP.

Menurutnya, dia sendiri menyumbang wang ringgit yang dikirim terus ke akaun penerima manakala rakannya pula menyumbang barangan keperluan dapur kepada mereka yang kurang bernasib baik.

"Alhamdulillah sehingga kini saya sudah membantu mengirim wang kepada 20 penerima manakala rakan pula telah menyumbang barangan keperluan kepada lebih 30 keluarga yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian.

Effah Juriana berkata, antara golongan terpilih menerima sumbangan itu terdiri dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri dan peniaga kecil-kecilan yang tiada sumber pendapatan tetap.

"Selain itu, saya juga memberi tumpuan sumbangan kepada golongan warga emas, pasangan sakit dan tanggungan ramai," katanya.

Katanya, dia juga sering memuat naik status di Facebook dan aplikasi WhatsApp sekiranya ada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan.

"Niat saya ikhlas hendak membantu mereka yang terkesan dengan PKP ini apatah lagi menganggap mereka seperti ibu bapa dan saudara-mara kita yang memerlukan bantuan," katanya.

Malah, katanya, jiwanya tersentuh apabila ada dalam kalangan penerima sumbangan sebelum ini hanya menjamah bubur dan nasi goreng berikutan perlaksanaan PKP.

"Saya gembira kerana inilah kebajikan yang dapat saya hulurkan bagi membantu meringankan bebanan dihadapi penduduk.

"Saya berharap mereka dapat memanfaatkan bantuan diberi dan ia secara tidak langsung membantu kerajaan bagi memastikan semua rakyat terkesan PKP menerima bantuan sewajarnya," katanya.

Selain bantuan kepada golongan memerlukan, Effah Juriana turut bekerjasama dengan mana-mana sukarelawan memberi makanan kepada kucing liar.

"Saya bersimpati dengan nasib kebanyakan haiwan jalanan ini yang hilang tempat bergantung," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf