Pembantu kedai dijel tiga bulan curi susu tepung

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

IPOH - Seorang pembantu kedai dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan mencuri dua bungkus susu tepung minggu lalu.

Tertuduh, Ku Mohd Nashrudeen Ku Mohd Nasir,28, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad 'Afifi Mohammad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dua bungkus susu Anlene Gold milik sebuah kedai runcit di Jalan Maxwell sekitar jam 5 petang pada 30 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Awatif Ahmad Bashir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berikutan tertuduh menanggung seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang kini di bawah penjagaan ayahnya yang berusia 70 tahun.

"Tindakan tertuduh adalah terdesak memerlukan keperluan asas selepas tidak bekerja pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia tiada cara lain mengambil susu untuk dijual bagi mendapatkan duit," katanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu dilaksanakan dari tarikh dia ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan.