Kerajaan Terengganu umum moratorium SPMT 12 bulan buat petani, nelayan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengumumkan pemberian moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) selama 12 bulan bermula Mei ini.
Inisiatif tersebut diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk SPMT sebagai langkah proaktif membantu warga tani, penternak serta nelayan yang kini terhimpit dengan situasi krisis global.
Pengerusi Jawatankuasa Induk SPMT, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan cabaran ekonomi yang sedang melanda kumpulan sasar tersebut pada masa kini.
"Pemberian moratorium ini akan melibatkan tanggungan kewangan sebanyak kira-kira RM2.9 juta di pihak kerajaan negeri.
"Langkah ini diharapkan dapat memberi sedikit ruang dan nafas buat para peminjam dalam menguruskan kewangan mereka ketika mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri menjelaskan, penangguhan selama setahun itu diberikan secara menyeluruh kepada semua peminjam di bawah skim berkenaan.
Dalam pada itu, Dr Azman memaklumkan semua peminjam yang terlibat tidak perlu gusar kerana pihak pengurusan akan menguruskan proses dokumentasi tersebut dalam masa terdekat.
"Semua peminjam akan dihubungi oleh Urusetia SPMT untuk urusan selanjutnya berkaitan proses penangguhan ini," jelasnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

