Bekas pelajar kolej komuniti jahit PPE

Norhemamalini khusyuk menjahit di bilik jahitan Kolej Komuniti Selandar.
Norhemamalini khusyuk menjahit di bilik jahitan Kolej Komuniti Selandar.
A
A
A

JASIN - Prihatin terhadap risiko dihadapi barisan hadapan khususnya pasukan perubatan, seorang pekerja kedai barangan logam memanfaatkan ilmu kursus jangka pendek jahitan yang pernah diikuti di Kolej Komuniti Selandar (KKSL) dengan mengambil bahagian dalam projek jahitan pakaian perlindungan diri (PPE).

Norhemamalini Jaapar, 43, berkata, keputusan diambil selepas tertarik dengan projek berkenaan yang dipaparkan melalui Facebook rasmi KKSL.

Menurutnya, memandangkan dia tidak bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sekali gus membantunya mengisi masa terluang sepanjang tempoh tersebut, di samping dapat membantu pasukan perubatan yang berdepan cabaran menangani pesakit koronavirus (Covid-19).

"Saya tahu mengenai projek menjahit baju PPE melalui media sosial Facebook milik kolej komuniti itu dan terus menghubungi pensyarah berkaitan.

"Kemudian saya turut mengajak beberapa orang rakan yang lain untuk turut sama dan hanya ini yang kami mampu lakukan untuk membantu atas dasar kemanusiaan," katanya yang menetap di Kampung Jus Permai, Selandar.

Norhemamalini bersama-sama rakannya memanfaatkan bilik jahitan di kolej komuniti itu dengan menjahit PPE, kasut 'boot cover' dan tudung.
Norhemamalini bersama-sama rakannya memanfaatkan bilik jahitan di kolej komuniti itu dengan menjahit PPE, kasut 'boot cover' dan tudung.

Norhemamalini yang juga ibu kepada dua anak berkata, mereka mula menjahit bermula dari fasa satu termasuk menjahit 50 helai baju PPE, 106 kasut 'boot cover' dan sekarang sedang meneruskan jahitan bagi menyiapkan kira-kira 121 helai tudung terutama untuk kegunaan jururawat.

"Syukur tak sia-sia saya mengikuti kursus jangka pendek di kolej komuniti dan dari dulu saya minat menjahit dan peluang yang ada dapat mengasah kemahiran menjahit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas pelajar kursus pendek kolej komuniti itu berkata, biarpun pergerakan agak terbatas sepanjang PKP ini, namun dia mengisi hari-hari dengan melakukan pelbagai aktiviti dalam rumah termasuk meneruskan aktiviti membuat kuih 'frozen', selain menjual ayam kampung kepada penduduk setempat.

"Kalau sebelum ini pelanggan yang membeli kuih datang ke rumah, kini dengan bantuan anak, dia yang tolong membuat penghantaran ke rumah-rumah pelanggan, jadi pelanggan tidak perlu keluar rumah," katanya.