Lelaki berswafoto selepas cederakan pekerja kedai serbaneka didakwa

Empat warga Thailand didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap dua warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 dan 2015.
Empat warga Thailand didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap dua warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 dan 2015.
A
A
A

BANGI - Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana berswafoto bersama seorang pekerja kedai serbaneka selepas mencederakan pekerja itu pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini.

Bagaimanapun penyelia tapak pembinaaan, U S Divagaran, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah ke atas lelaki berusia 18 tahun itu di sebuah kedai serbaneka di Ecohill Taipan, Semenyih di sini pada jam 5 pagi, 20 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam V Vickneswari yang mewakili Divagaran memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang masih bujang menanggung dan menjaga ibu bapanya yang uzur kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.

"Anak guam saya bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dengan pendapatan tetap antara RM1,500 hingga RM2,000.

"Selain itu, dia perlu membayar bulanan untuk kereta dan rumah masing-masing RM500. Jumlah jaminan yang tinggi sukar dibiayai oleh keluarga tertuduh,” kata peguam itu.

Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan kes bagi laporan perubatan dan serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, tertuduh yang dipercayai dalam keadaan mabuk memasuki sebuah kedai serbaneka untuk membeli minuman.

Dia kemudian membawa keluar tiga payung dari premis berkenaan tanpa membuat bayaran menyebabkan mangsa menegurnya dan berlaku pertengkaran sebelum tertuduh menumbuk mangsa di muka.

Tular di media sosial dua video kejadian terbabit dan beberapa keping gambar seorang lelaki berswafoto bersama mangsa yang cedera. - Bernama