Pekerja kedai serbaneka cedera dipukul pelanggan

Kamera litar tertutup(CCTV) di lokasi kejadian memaparkan mangsa dipukul seorang individu dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka pada Selasa.
Kamera litar tertutup(CCTV) di lokasi kejadian memaparkan mangsa dipukul seorang individu dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Gara-gara menegur seorang lelaki yang didakwa mencuri payung, seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Semenyih cedera dipukul dalam kejadian pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, suspek bersama rakannya pada mulanya datang untuk membeli minuman.

"Suspek kemudian bertindak mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa membuat sebarang bayaran.

"Mangsa yang bekerja di kedai serbaneka terbabit kemudian menegur perbuatan suspek sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, suspek kemudian kembali ke kedai serbaneka terbabit dan bertindak menumbuk muka mangsa yang berumur 18 tahun itu.

"Suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian dan meninggalkan mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di muka mendapatkan rawatan di hospital sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membuka siasatan berikutan kejadian terbabit dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis dibawah IPD Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695," katanya.