Suntikan dana tambahan projek PPE Terengganu

Nor Aieni (kanan) menerima sumbangan daripada Tengku Hassan dan Norhana bagi pihak projek PPE Terengganu.
Nor Aieni (kanan) menerima sumbangan daripada Tengku Hassan dan Norhana bagi pihak projek PPE Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS - Projek penghasilan peralatan perlindungan diri (PPE) Terengganu mendapat sumbangan dan suntikan dana tambahan daripada pelbagai pihak dalam membantu negara menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu telah menyumbang sejumlah RM10,000 manakala Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar menyumbang RM5,000 bagi menjayakan projek berkenaan.

Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik (FTKKI) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ts Dr Noor Zaitun Yahaya yang juga Pengarah projek NGO’s Support Team berkata, UMT juga bersetuju untuk bersama-sama memberi komitmen dalam membantu menjayakan misi itu.

Menurutnya, penghasilan PPE ini adalah selari dengan bidang kepakaran yang ada di FTKKI dengan bantuan beberapa pakar teknologi dan jurulatih terlatih (NIOSH) dan Industrial Hygiene.

"PPE yang dihasilkan adalah untuk kegunaan petugas Kementerian Kesihatan di Terengganu serta barisan hadapan lain yang memerlukan seperti polis, bomba, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Sasaran projek ini adalah menghasilkan topeng muka sebanyak 5,000 unit oleh sukarelawan pelajar UMT dan 1,500 Isolation Sets oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terengganu.

"Dengan kekuatan lebih 40 sukarelawan UMT dan 40 tukang jahit dari seluruh Terengganu, saya yakin ia dapat dicapai dan misi bantuan seterusnya boleh diteruskan jika perlu," katanya yang juga Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (The Malaysian Clean Air Association atau MyCAS).

Terdahulu, satu sesi penyerahan replika cek sumbangan kepada Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar yang disampaikan oleh Pengerusi MACMA Negeri Terengganu, Datin Norhana Ng Abdullah dan Tengku Hassan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Noor Zaitun berkata, pihaknya cukup terharu kerana beberapa badan bukan kerajaan seperti NGO Face Shield Hero Malaysia, Majlis Dakwah Negara negeri Terengganu, Jawatankuasa Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut membantu bagi menjayakan projek itu.

"Projek penghasilan PPE dibiayai oleh dana sumbangan, NGO, badan korporat serta orang ramai. Kita memerlukan dana sekurang-kurangnya RM 30,000 untuk menampung pelbagai kos penghasilan PPE fasa 1 ini yang dijangka berakhir 14 April depan.

"Individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia).

"Semua sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN). Para penyumbang boleh kemukakan bukti pembayaran untuk Resit Pelepasan Cukai yang akan diberi setelah transaksi berjaya dan boleh die-melkan kepada: cleanairmalaysia@gmail.com atau hubungi Dr Mohd Shahrir di talian 017 – 9681102," katanya.