Mohon penjelasan kerajaan surat kebenaran syarikat arak beroperasi

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membuat penjelasan rasmi terhadap surat kebenaran kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu berkata, sekiranya surat itu adalah tulen, beliau memohon kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menarik balik kebenaran itu serta-merta.

Menurutnya, gesaan itu dibuat kerana ternyata sekali industri arak bukan satu perniagaan dan perkhidmatan yang termasuk dalam kategori penting.

"Sebagai seorang Muslim, saya dan umat Islam wajib membantah kelonggaran dan keistimewaan yang diberikan kepada industri arak ini.

"Apatah lagi ia berlaku dalam situasi negara sedang berdepan dengan ancaman wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Apakah nilai yang tinggal kepada seorang Muslim yang berdoa kepada Tuhannya sedangkan membiarkan arak mengalir di bawah sejadah dalam keadaan dia bisa menyekatnya?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular sepucuk surat didakwa dari KPDNHEP yang memberi pengecualian kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi.

Surat bertarikh 31 Mac itu menunjukkan kementerian berkenaan membenarkan syarikat pembekal bir itu beroperasi dalam tempoh PKP, susulan permohonan yang dibuat pada 24 Mac.

Artikel Berkaitan: