Covid-19: Perdana Menteri UK, Boris Johnson masuk hospital

Boris Johnson
Boris Johnson
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson yang dijangkiti koronavirus (Covid-19) kira-kira 10 hari lalu hari ini dimasukkan ke hospital di sini untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Jurucakap pejabatnya di Downing Street berkata, tindakan membawa Johnson ke hospital adalah langkah berjaga-jaga ekoran Perdana Menteri itu mengalami gejala virus yang berterusan.

“Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) atas kerja keras mereka yang luar biasa dan menggesa orang ramai terus mematuhi nasihat kerajaan untuk duduk di rumah, melindungi NHS dan menyelamatkan nyawa,” kata jurucakap itu.

Johnson, 55, ialah ketua kerajaan dunia pertama diketahui menghidap penyakit itu yang menjangkiti 1.26 juta orang di seluruh dunia dan menyebabkan 69,000 kematian.

Di United Kingdom sahaja, setakat ini terdapat 48,436 kes Covid-19 dengan 4,943 orang menjadi korban wabak itu.

Dianggarkan kira-kira 10 peratus pesakit dijangkiti Covid-19 di negara itu meninggal dunia iaitu antara peratusan kematian tertinggi di dunia.

Sejak disahkan dijangkiti virus itu pada 27 Mac lalu, Jonhson mengkuarantinkan diri di flatnya di sebelah pejabat Perdana Menteri di No. 10 Downing Street, London.

Boris ketika mempengerusikan mesyuarat Covid-19 sambil mengasingkan diri minggu lalu. - Foto AFP
Boris ketika mempengerusikan mesyuarat Covid-19 sambil mengasingkan diri minggu lalu. - Foto AFP

Artikel Berkaitan:

Selepas 10 hari, beliau masih mengalami simptom penyakit itu iaitu batuk yang berterusan dan demam.

Berita tentang kemasukan Johnson ke hospital menyusul selepas satu perutusan melalui televisyen Ratu Elizabeth II dari Windsor Castle dan melalui ucapannya baginda menggesa rakyat untuk menghadapi pandemik dengan perpaduan.

Covid-19 juga menjangkiti anak sulung Ratu Elizabeth dan pewaris takhta diraja, Putera Charles. Putera Charles mengumumkan dua minggu lalu bahawa baginda menderita gejala ringan penyakit itu.

Menteri Kesihatan, Matt Hancock yang juga baru sembuh daripada Covid-19 menegaskan negara itu akan menjalankan 100,000 ujian Covid-19 setiap hari menjelang akhir April ini. - Agensi