Misi martabatkan sukan paralimpik

No Image Caption
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam memberikan publisiti penganjuran sukan paralimpik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, promosi dan publisiti yang diberikan itu nanti akan mengangkat lagi sukan paralimpik di negara ini selain sebagai medium dan penghargaan atlet yang berusaha gigih mencapai kejayaan.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini,” katanya selepas melawat cawangan Y-Centre milik KBS di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu beliau turut beramah mesra dengan lebih 10 atlet orang kurang upaya (OKU) yang hadir.

Sim berkata agensi media swasta seperti Astro juga telah menyatakan komitmen mereka kepada KBS dan KKMM memberi kerjasama membuat hebahan sukan tersebut.

Beliau berkata hebahan yang dibuat akan membuka peluang atlet terbabit mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu pada sebelah pagi, Sim menemui Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, di pejabat mufti tersebut dan berbincang mengenai kerjasama menganjurkan program berbasikal di Perlis bagi menggalakkan masyarakat beriadah.

Sim berkata KBS juga merancang menganjurkan sukan tinju Muay Thai di Perlis sebagai antara usaha mempromosi sektor pelancongan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

“Saya kerap dengar rakyat Perlis merungut kerana dipinggirkan dalam banyak hal dan berharap inisiatif KBS ini akan merintis lebih banyak lagi program yang akan mengangkat nama Perlis,” katanya. - Bernama