Terengganu tutup semua pasar 10 April untuk operasi disinfeksi

MOHD NURKHUZAINI
MOHD NURKHUZAINI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pasar awam dan pasar borong seluruh Terengganu akan ditutup pada Jumaat depan (10 April) bagi membolehkan operasi pembersihan atau disinfeksi dijalankan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, operasi itu akan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

Sehubungan itu, katanya, semua rakyat negeri ini diminta untuk membuat persiapan lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

"Kerajaan negeri telah bermesyuarat untuk memilih satu hari yang sesuai untuk proses sanitasi dan kita telah memilih hari Jumaat depan untuk menjalankan aktiviti itu.

"Pada hari itu hampir kesemua pasar akan ditutup bagi membolehkan proses disinfeksi atau nyahcemar dijalankan.

"Jadi, orang ramai diminta untuk membuat persiapan lebih awal bagi mencari barangan keperluan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, tarikh itu juga dipilih berdasarkan trend pembelian masyarakat yang tinggi pada hari itu (Jumaat).

Katanya, berdasarkan pemerhatian dalam tempoh hampir tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, masyarakat di Terengganu gemar keluar beramai-ramai untuk mencari keperluan pada hari Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin sudah terbiasa kerana sebelum ini Jumaat adalah hari cuti bagi Terengganu, sedangkan dalam tempoh PKP ini kita mempunyai enam hari yang lain yang mana pasar-pasar ini juga dibuka dan dibenarkan beroperasi.

"Untuk mengelak jumlah individu yang ramai keluar dan berada di satu-satu lokasi dalam satu-satu masa, kita memilih hari itu untuk menjalankan aktiviti pembersihan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.

Katanya, diharap rakyat Terengganu tidak bimbang atau berasa panik dengan perubahan itu kerana ia hanya bersifat sementara.