Harmoni di bawah bumbung merah

Masjid Muhammadiah yang mula dibina pada 2011 telah berkembang menjadi simbol keharmonian dalam masyarakat majmuk.
Masjid Muhammadiah yang mula dibina pada 2011 telah berkembang menjadi simbol keharmonian dalam masyarakat majmuk.
A
A
A

IPOH - Di tengah kepesatan pembangunan kawasan Tasek, berdiri sebuah masjid yang tidak pernah gagal mencuri perhatian.

Dengan seni bina berinspirasikan budaya Cina, lengkap dengan ukiran halus dan struktur ala pagoda, Masjid Muhammadiah bukan sekadar tempat umat Islam menunaikan solat.

Lebih daripada itu, masjid yang mula dibina pada 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 2013 di atas tapak berkeluasan 0.3 hektar ini telah berkembang menjadi simbol keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Bercakap kepada Sinar Ahad, Timbalan Pengerusinya, Mohd Hafiz Ng berkata, kewujudan masjid berkonsepkan budaya Cina itu sebenarnya membawa mesej penting kepada masyarakat bahawa Islam bukan milik sesuatu kaum semata-mata.

Menurutnya, antara tujuan utama penubuhan masjid tersebut adalah untuk membetulkan tanggapan yang sering disalahfahami oleh masyarakat.

“Ada yang fikir bila masuk Islam, maknanya masuk Melayu. Ada juga yang ingat orang Cina yang memeluk Islam tidak boleh lagi bercakap bahasa Cina. Jadi kita cuba betulkan salah faham ini,” katanya.

Bahasa Cina digunakan dengan meluas di papan tanda dan menjadi hiasan tiang-tiang utama di Masjid Muhammadiah.
Bahasa Cina digunakan dengan meluas di papan tanda dan menjadi hiasan tiang-tiang utama di Masjid Muhammadiah.

Atas sebab itu, pendekatan dakwah yang digunakan di masjid berkenaan lebih terbuka dan mesra masyarakat. Bahasa Cina misalnya sering digunakan dalam program tertentu bagi memudahkan masyarakat bukan Islam memahami ajaran Islam tanpa kekangan bahasa.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan tersebut menjadikan masjid berkenaan antara lokasi rujukan penting bagi golongan mualaf yang ingin mendalami Islam.

“Kita ada kelas khas untuk mualaf dan juga kuliah agama seperti biasa. Ramai yang datang dari pelbagai tempat kerana di sini mereka boleh belajar dan bertanya dalam bahasa yang mereka fahami,” kata Mohd Hafiz.

Namun perjalanan masjid ini untuk diterima masyarakat bukanlah mudah pada peringkat awal.

Menurut Mohd Hafiz, ketika cadangan pembinaan dikemukakan, terdapat juga kebimbangan daripada penduduk sekitar yang majoritinya bukan Islam.

Ada yang bimbang tentang bunyi azan, masalah parkir, malah ada yang khuatir nilai hartanah mereka akan terjejas. Bagaimanapun masa menjadi saksi bagaimana persepsi itu akhirnya berubah.

Seni bina Masjid Muhammadiah adalah berinspirasikan budaya Cina, lengkap dengan ukiran halus dan struktur ala pagoda.
Seni bina Masjid Muhammadiah adalah berinspirasikan budaya Cina, lengkap dengan ukiran halus dan struktur ala pagoda.

Katanya, melalui pelbagai program komuniti dan pendekatan mesra jiran, hubungan antara pihak masjid dan masyarakat sekitar semakin erat.

“Selepas beberapa tahun, mereka sendiri beritahu bahawa mereka gembira ada masjid di sini. Kawasan jadi lebih selamat dan ramai pelawat datang,” katanya.

Hubungan yang terjalin itu juga melahirkan kepercayaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, hinggakan ada dalam kalangan jiran bukan Islam yang secara sukarela membantu menjaga kawasan masjid, termasuk menghalau penceroboh atau memaklumkan sekiranya berlaku sesuatu yang mencurigakan.

Ibadah

Kini, masjid tersebut bukan sahaja menjadi tempat ibadah, tetapi juga ruang pertemuan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan budaya.

Di samping ruang solat yang mampu menampung sehingga 2,000 jemaah termasuk kawasan dewan terbuka, masjid berkenaan turut menyediakan kemudahan seperti perpustakaan, bilik mesyuarat serta ruang kaunseling.

Mohd Hafiz berkata, pihak pengurusan juga merancang mewujudkan sebuah mini muzium bagi mempamerkan sejarah masyarakat Cina yang memeluk Islam.

"Langkah ini diharap dapat beri peluang pengunjung memahami perjalanan panjang hubungan antara budaya Cina dan agama Islam," katanya.

Salah satu tarikan yang terdapat di dalam Masjid Muhammadiah.
Salah satu tarikan yang terdapat di dalam Masjid Muhammadiah.

Pada hujung minggu, bas-bas pelancong sering singgah membawa pengunjung yang ingin melihat sendiri masjid yang kelihatan seperti tokong Cina dari luar, tetapi sebenarnya sebuah rumah ibadah umat Islam.

Ujar Mohd Hafiz, jumlah pelawat bukan Islam yang datang boleh mencecah sehingga 2,000 orang setiap bulan.

“Mereka datang kerana ingin melihat sendiri suasana masjid dan memahami Islam dengan lebih dekat,” katanya.

Dalam bulan Ramadan pula, semangat keterbukaan yang menjadi asas masjid itu semakin terserlah dengan penyediaan majlis berbuka puasa percuma setiap hari dan mampu menampung antara 350 hingga 400 orang dalam satu-satu masa.

Yang menariknya, majlis tersebut bukan sahaja dihadiri umat Islam, tetapi juga jiran bukan Islam yang dijemput untuk merasai sendiri suasana berbuka puasa di masjid.

Bagi Mohd Hafiz, keindahan sebenar masjid tersebut bukan sekadar pada bumbung merah atau seni bina ala pagodanya, tetapi pada makna yang dibawanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!