Malaysia tidak pernah campur tangan konflik sempadan Thailand-Kemboja

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Malaysia tidak pernah campur tangan dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja dan hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha kedua-dua negara melaksanakan gencatan senjata.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, protes yang diadakan rakyat Thailand yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam konflik itu baru-baru ini dianjurkan parti pembangkang sebagai modal untuk mereka berdepan pilihan raya di negara berkenaan tidak lama lagi.

“Saya menjadi saksi hidup ketika kedua-dua pihak berunding terma-terma untuk mereka mengadakan gencatan senjata sampai jam 3 pagi.

“Kita tak masuk campur langsung. Kita cuma mendengar dan mereka minta pandangan. Kita minta mereka bertolak ansur. Jadi tidak ada isu yang mengatakan bahawa Perdana Menteri khususnya campur tangan dalam hal ehwal dalaman Thailand.

“Ini dijadikan satu modal oleh parti pembangkang yang kecil jumlahnya untuk pilihan raya tidak lama lagi. Jadi jangan kita di Malaysia terikut-ikut pula, kita pula yang lebih mengatakan Perdana Menteri kita campur tangan. Itu tidak betul,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pendirian rasmi Malaysia susulan protes di Bangkok berkaitan dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam konflik Thailand-Kemboja serta implikasi jangka panjangnya terhadap imej dan persepsi kepada Malaysia di rantau ASEAN.

Mohamad berkata, sejak dahulu lagi Malaysia menjunjung semangat ASEAN iaitu tidak ada campur tangan dalam hal ehwal negara ahli dalam gabungan berkenaan.

“Jadi implikasinya tidak ada kerana protes dianjurkan oleh parti pembangkang di sana yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya. Untuk mengatakan Malaysia, khususnya Perdana Menteri campur tangan itu adalah satu perkara yang amat salah kerana Malaysia tidak pernah campur tangan.

“Kita hanya jadi pemudah cara kerana dua negara bersahabat ini telah terlibat dengan isu pertempuran di sempadan. Isu ini sudah perpuluh-puluh tahun, sudah berabad. Kita memang tak pernah campur tangan kerana ia isu bilateral antara Kemboja dan Thailand,” tegasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mohamad memberitahu, pada Jun lalu, Perdana Menteri menghubungi rakan sejawatnya ketika itu, Paetongtarn Shinawatra dan kedua-duanya menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat berkecuali untuk mereka berunding.

Mohamad menjelaskan, ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Julai lalu pula beliau mempertemukan kedua-dua Menteri Luar Thailand dan Kemboja supaya dapat duduk semeja serta berunding menyelesaikan konflik itu.

"Kita selalu melaungkan bahawa rantau ASEAN ini aman, sejahtera, bebas dan berkecuali tetapi apa rupanya jika kedua-dua buah negara ini bertelagah berkenaan sempadan," ujarnya.

Pada Ahad lalu, Anwar menolak dakwaan oleh kumpulan di Thailand bahawa beliau mencampuri urusan mereka dengan cuba menyelesaikan pertikaian sempadan negara itu dengan Kemboja.

Beliau berkata, dakwaan itu sama sekali tidak berasas dan mereka yang mengutuk beliau seharusnya memahami peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara sebelum mengeluarkan kenyataan terburu-buru.

Anwar juga memaklumkan, rakan sejawatnya, Anutin Charnvirakul turut menegaskan bahawa kritikan kumpulan Thailand berkenaan adalah tidak adil.

Ringkasan AI

  • Malaysia tidak campur tangan dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja
  • Malaysia hanya bertindak sebagai pemudah cara dalam usaha gencatan senjata antara kedua negara
  • Protes di Thailand terhadap campur tangan Malaysia adalah anjuran parti pembangkang
  • Malaysia menjunjung semangat ASEAN tidak campur tangan dalam hal ehwal negara ahli
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan campur tangan dalam urusan sempadan Thailand-Kemboja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!