Pesalah PKP tidak perlu dipenjarakan: Kit Siang

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

SHAH ALAM – Pemimpin DAP menyokong cadangan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar supaya pesalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipenjarakan kerana wabak koronavirus (Covid-19) bagi mengurangkan kesesakan di penjara.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, pihak mahkamah perlu bertindak tegas terhadap mereka yang ingkar dengan PKP, tetapi pada masa sama turut menggunakan hukuman yang tidak berbentuk pemenjaraan kerana ia membantutkan tujuan asal PKP iaitu untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mendatarkan lengkungan penyebaran Covid-19.

Menurutnya, perbuatan memenjarakan mereka membawa risiko penularan wabak Covid-19 ke dalam penjara kerana sistem penjara sekarang ini terlalu sesak, dengan hampir 73,000 banduan ditempatkan di 50 kompleks penjara di seluruh negara.

“Dalam situasi penjara yang sesak sebegini, pembatasan sosial adalah mustahil untuk diamalkan. Oleh sebab itu, hukuman kepada hampir 400 orang pesalah yang ingkar dengan PKP ini harus diubah kepada hukuman yang tidak berbentuk pemenjaraan.

“Perkara ini juga penting untuk melindungi para petugas di Jabatan Penjara yang tidak diberikan alat pelindungan diri (PPE) dan terdedah kepada risiko dijangkiti wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Kit Siang lagi, di United Kingdom, kerajaan negara itu telah mengumumkan para banduan berisiko rendah yang berada di penghujung hukuman akan dipertimbangkan untuk diberikan pembebasan awal bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di dalam penjara yang boleh melumpuhkan hospital setempat.

“Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan yang sama untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 memandangkan keadaan sesak penjara-penjara di Malaysia dengan membenarkan pelepasan awal banduan terutama dalam kalangan banduan warga emas, banduan yang dijadualkan untuk dibebaskan dalam tempoh beberapa bulan lagi dan banduan yang dipenjarakan atas kesalahan kecil dan kesalahan-kesalahan yang tidak melibatkan keganasan.

“Selain itu individu yang mempunyai keadaan kesihatan yang berisiko tinggi dan banduan yang telah melakukan jenayah yang tidak membawa sebarang bahaya kepada orang lain juga patut diberi tindakan sama,” katanya.

Artikel Berkaitan: