DAP tidak perlu lagi tegaskan pendirian - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Gesaan supaya DAP membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap-cakap tentang parti itu yang anti Melayu, anti Islam, perkauman serta berpusatkan komunis tidak sepatutnya dibangkitkan lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana parti berkenaan telah beberapa kali pendirian mereka berhubung perkara tersebut.

“Perkara itu (minta DAP nyatakan pendirian) tidak (sepatutnya) timbul lagi kerana mereka telah menyatakan perkara ini beberapa kali.

“Menerusi perundingan kita untuk membentuk kerajaan (Perpaduan) pun, perkara itu juga menjadi syarat dan mereka bersetuju seratus-peratus, (jadi) tidak perlu lagi kita ulangi perkara yang telah dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 menuntut agar DAP membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan cakap-cakap tentang parti itu yang anti Melayu, anti Islam, perkauman serta berpusatkan komunis tidak akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan jika mahu orang UMNO berlembut hati.

Muhamad Akmal Saleh berkata, ada kalangan ahli yang datang berjumpa, mengadu dan meluahkan perasaan risau apabila bersama DAP, ‘keris’ UMNO akan terperosok ke bumi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan akar umbi terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan ia berjalan dengan baik.

Ini kerana katanya, prinsip kerjasama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Jangan terbuai dengan permainan pihak yang memang tidak senang dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan, apatah lagi dengan kestabilan kerajaan ketika ini,," katanya.