1MDB: Empat lukisan bernilai tinggi termasuk Pablo Picasso dijangka tiba 6 April ini - SPRM

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lukisan Pablo Picasso antara empat lukisan mewah karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dalam proses dibawa pulang ke Malaysia.
Empat lukisan bernilai jutaan ringgit yang dimiliki peguam utama 1MDB, Jasmine Loo itu dijangka tiba pada 6 April ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, semua lukisan itu dibawa pulang hasil perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) di Washington DC pada Disember tahun lalu.
"Saya difahamkan empat lukisan ini sedang dalam proses penghantaran untuk tiba di Putrajaya (Ibu Pejabat SPRM).
"Empat lukisan itu ialah L'Ecuyère et les clowns (Pablo Picasso, 1961) dengan anggaran nilai AS$26,250; Montmartre (Maurice Utrillo, 1934) (AS$50,000); Étude pour femme couchée (Balthus, 1948) (AS$28,125) dan Composition (Juan Miró, 1953) (AS$93,750).
"Tujuh lukisan lain yang dikaitkan dengan 1MDB masih berada di bawah jagaan rumah lelong terkenal, Christie's, manakala satu lagi telah dijual," katanya pada Selasa.
Azam berkata, pihaknya juga akan mengguna pakai Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) untuk membawa pulang empat lagi lukisan yang berada di Christie's.
Disember lalu, Sinar Harian melaporkan 12 lukisan berkualiti tinggi dan mahal karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB bernilai sekitar AS$30 juta (kira-kira RM140 juta) akan dipamerkan di Balai Seni Negara untuk tatapan umum sejurus tiba di negara ini.
SPRM dalam kenyataan berkata, USDOJ akan mengembalikan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia melalui SPRM sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1MDB.
Persetujuan itu dicapai hasil dua siri perbincangan dua hala antara SPRM, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
Ringkasan AI
- Lukisan Pablo Picasso antara empat lukisan mewah yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB akan dibawa pulang ke Malaysia.
- Empat lukisan bernilai jutaan ringgit dimiliki peguam utama 1MDB, Jasmine Loo, dijangka tiba pada 6 April.
- Penghantaran lukisan hasil perbincangan rasmi SPRM bersama FBI dan USDOJ di Washington DC pada Disember tahun lalu.
- Tujuh lukisan lain masih dijaga oleh rumah lelong Christie's, satu lagi telah dijual, dan empat lagi akan dibawa pulang melalui Bantuan Undang-Undang Bersama.
- USDOJ setuju memulangkan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia sebagai sebahagian usaha pemulihan aset skandal 1MDB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
