Pemulihan aset 1MDB: USDOJ setuju kembalikan 12 lukisan bernilai tinggi

PUTRAJAYA – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) akan mengembalikan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, persetujuan itu dicapai hasil dua siri perbincangan dua hala antara SPRM, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington DC dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.
"Perbincangan berkenaan diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan turut disertai Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil serta Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara (AGC), Norinna Bahadun.
"Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha pemulihan aset 1MDB, khususnya melibatkan pengembalian lukisan-lukisan bernilai tinggi yang dibeli oleh Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan USDOJ,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
SPRM memaklumkan, sebanyak 12 lukisan dengan nilai dianggarkan melebihi AS$30 juta telah dikenal pasti dan ketika ini dipegang oleh rumah lelongan Christie’s serta Sotheby’s Auction House di Amerika Syarikat.
"Antara karya seni yang terlibat ialah Pablo Picasso (1961), L’Ecuyère et les clowns; Joan Miró (1953), Composition; William H. Bailey, Still Life; Alexander Calder, Studies for Sculpture; serta Henri Matisse, Femme Assise.
"Susulan perbincangan tersebut, USDOJ bersetuju untuk mengembalikan lukisan-lukisan berkenaan kepada Malaysia melalui SPRM sebagai sebahagian daripada proses pemulihan aset berkaitan 1MDB,” jelas kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, SPRM memaklumkan perbincangan turut menyentuh kes melibatkan rapper Amerika Syarikat, Pras Michel, yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun selepas menerima USD120 juta, sebahagiannya dikaitkan dengan dana 1MDB serta syarikat-syarikat proksi.
Menurut kenyataan itu, USDOJ turut memaklumkan bahawa masih terdapat aset milik Low Taek Jho atau Jho Low di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian Amerika Syarikat (US Settlement Agreement).
"Aset di Hong Kong, Singapura dan Perancis bagaimanapun telah dilupuskan dan hasil pelupusan tersebut akan dipindahkan ke Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu lagi.
SPRM berkata, perbincangan dua hala tersebut juga melibatkan isu berkaitan Tim Leissner, Tarek Obaid dan PetroSaudi, selain Riza Aziz serta firma guaman White & Case.
"FBI dan USDOJ menegaskan komitmen penuh terhadap kerjasama rentas sempadan dan penyelarasan antarabangsa bersama SPRM, AGC dan NFCC.
"Ia bagi memastikan semua aset yang masih berada di luar negara dapat dijejak, disita dan dipulihkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Ringkasan AI
- USDOJ akan mengembalikan 12 lukisan bernilai tinggi kepada Malaysia melalui SPRM berkaitan skandal 1MDB
- Persetujuan pengembalian lukisan ini dicapai selepas perbincangan dua hala antara SPRM, FBI dan USDOJ di Washington DC dan New York
- Lukisan-lukisan tersebut, dengan nilai dianggarkan melebihi USD30 juta, dipegang oleh rumah lelongan Christie's dan Sotheby's di Amerika Syarikat
- Antara karya seni terlibat termasuklah karya oleh Pablo Picasso, Joan Miró, William H. Bailey, Alexander Calder, dan Henri Matisse
- Perbincangan dua hala turut menyentuh kes melibatkan Pras Michel dan keadaan aset milik Low Taek Jho di Singapura yang tidak termasuk dalam Perjanjian Penyelesaian Amerika Syarikat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

