UDA bangunkan 1,402 rumah mampu milik di Kuala Lumpur

Dr Zaliha (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee.
Dr Zaliha (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee.
A
A
A

UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), terus memperkukuh peranan dengan merealisasikan pembangunan 1,402 unit Rumah Mampu Milik di sekitar ibu negara.

Daripada jumlah tersebut, 700 unit telah siap dibangunkan merangkumi 206 unit di Legasi Kampong Bharu dan 494 unit di Residensi Akasia Jubilee, manakala 702 unit di Residensi Akasia Raya kini dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada 2029.

Setiap unit Rumah Mampu Milik yang dibangunkan oleh UDA ditawarkan pada harga RM300,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus terhadap penyediaan kediaman mampu milik di kawasan bandar.

"Ia bagi memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah yang selesa, berkualiti dan selamat,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee di sini pada Khamis.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Interim UDA, Azrudyn Rashid pula menegaskan bahawa komitmen UDA dalam memperkasakan komuniti setempat, khususnya golongan Bumiputera bandar melalui akses pemilikan hartanah yang inklusif dan berkualiti.

Sebahagian penerima ketika Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee pada Khamis.
Sebahagian penerima ketika Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee pada Khamis.

“Dari sudut pasaran, penawaran UDA jelas kompetitif pada kadar sekitar RM370 sekaki persegi berbanding projek sekitar yang berharga purata kira-kira RM592 sekaki persegi.

Artikel Berkaitan:

"Projek UDA membuktikan komitmen terhadap kesejahteraan komuniti bandar tanpa mengabaikan tuntutan pasaran dan nilai hartanah jangka panjang,” ujarnya.

Ujarnya lagi, pendekatan UDA yang berteraskan harga munasabah, lokasi strategik dan keluasan kediaman yang selesa terus membuka peluang kepada golongan belia, pembeli rumah pertama serta warga kerja bandar untuk memiliki kediaman di pusat Kuala Lumpur.

Residensi Akasia Jubilee merupakan projek Rumah Mampu Milik UDA yang kedua di tengah bandar Kuala Lumpur dengan keluasan unit 814 kaki persegi serta pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, surau, ruang dobi dan ruang tadarus.

Ia juga mempunyai akses mudah melalui Jalan Loke Yew serta berhampiran pelbagai pusat tarikan utama bandar.

Azrudyn berkata, kini UDA sedang membangunkan Fasa Kedua iaitu Residensi Akasia Raya yang terletak bersebelahan Residensi Akasia Jubilee dan dijangka siap pada tahun 2029.

Jelasnya, pembangunan ini bukan sahaja meneruskan kesinambungan tetapi juga menambah bilangan kediaman mampu milik dan berkualiti yang dapat ditawarkan kepada masyarakat bandar.

“Sebanyak 50 peratus unit telah dijual dan baki 50 peratus lagi (351 unit) dibuka kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), dengan kadar pembiayaan serendah RM240,000.

"Inisiatif ini menzahirkan keprihatinan UDA agar penjawat awam turut berpeluang memiliki kediaman berkualiti di lokasi strategik Kuala Lumpur,” ujarnya.

UDA kini turut membangunkan Dedaun Residensi di Bandar Tun Hussein Onn, sebuah apartmen moden berkeluasan antara 850 hingga 1,160 kaki persegi dan berharga bermula RM447,888.

Lengkap dengan fasiliti seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan pengecasan EV, projek ini berada dalam komuniti matang dengan akses mudah ke pelbagai kemudahan awam, menjadikannya pilihan ideal bagi keluarga muda dan pembeli rumah pertama yang mencari kediaman selesa pada nilai kompetitif.

Layari www.uda.com.my atau ikuti Instagram (@uda_official) dan Facebook UDA Holdings Berhad untuk maklumat terkini.

Ringkasan AI

  • UDA Holdings Berhad membangunkan 1,402 unit Rumah Mampu Milik di Kuala Lumpur
  • 700 unit telah siap termasuk di Legasi Kampong Bharu dan Residensi Akasia Jubilee dengan 702 lagi unit sedang dibina
  • Setiap unit Rumah Mampu Milik ditawarkan pada harga RM300,000
  • Penawaran UDA kompetitif dengan harga sekitar RM370 sekaki persegi berbanding projek lain di kawasan sama
  • 50% unit kediaman Residensi Akasia Raya dibuka kepada penjawat awam dengan kadar pembiayaan serendah RM240,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!