X

Kindly register in order to view this article
!

Bantu pasarkan lebih 1,000 tan metrik lambakan hasil pertanian

Azman (kanan) melihat hasil pertanian tembikai di Pusat Pengumpukan TADC Telaga Papan, Setiu. -Foto: Facebook Azman Ibrahim
A
A

KUALA TERENGGANU - Masalah lambakan hasil pertanian di Terengganu selesai apabila kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Agrotech Development Corporation (TADC) membeli lebih 1,000 tan metrik buah dan sayur berkenaan untuk dipasarkan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pembelian hasil tani bernilai kira-kira RM1.1 juta itu dipasarkan di 37 outlet jualan TADC dan di luar Terengganu.

Katanya, usaha itu bertujuan membantu petani yang terjejas kerana hasil pertanian mereka tidak dapat dipasarkan ekoran penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi PKP fasa pertama, TADC membuat pembelian hampir 1,000 metrik tan lambakan tembikai dengan nilai belian sekitar RM800,000.

"Selain itu, kita juga turut membeli buah-buahan lain seperti tembikai susu, rock melon, labu dan sayur-sayuran bernilai RM300,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh PKP fasa kedua ini dijangka kira-kira RM1.5 juta lagi hasil pertanian akan dibeli melibatkan semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Sebanyak 90 peratus daripada hasil pertanian ini dipasarkan di outlet TADC di seluruh negeri dan baki 10 peratus lagi akan dihantar keluar terutama Kuala Lumpur dan Selangor.

"Outlet jualan TADC yang diwujudkan di seluruh negeri mendapat sambutan menggalakkan kerana lokasinya berhampiran penempatan penduduk," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya kini sedang berusaha menyelesaikan masalah hasil ternakan ikan siakap dan kerapu hibrid.

"Produk akuakultur sebelum ini mendapat permintaan tinggi di restoran dan hotel. Apabila kedua-duanya tidak beroperasi, agak sukar untuk kita menerokai pasaran baharu kerana tiada permintaan.

"Saya telah berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perikanan untuk membantu penternak dalam aspek lain walaupun kita belum lagi mampu membantu dari segi pemasaran," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!