SK Betau perlukan padang tiruan

Mohd Adele
Mohd Adele
A
A
A

LIPIS - Kecemerlangan sukan hoki Sekolah Kebangsaan (SK) Betau tidak dapat disangkal lagi dengan beberapa siri kejayaan yang dipamerkan oleh murid sekolah tersebut sekali gus mampu melahirkan ramai bakat dan pemain berkualiti sukan itu.

Situasi itu menyebabkan keperluan padang tiruan ditagih supaya kesinambungan kecemerlangan atlet sekolah itu dapat dikekalkan.

Antara siri kejayaan sekolah terbabit menyaksikan pasukan hoki perempuan sekolah itu muncul naib juara Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) untuk kategori bawah 12 tahun, pada 2017.

Selain itu, dua murid sekolah berkenaan, Rafiza Ghani dan Justonafazirah Tahir, menerima tawaran dan kini melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh yang terkenal sebagai antara sekolah sukan yang berjaya melahirkan ramai pemain hoki terbaik negara.

Kecemerlangan aksi Rafiza sepanjang kejohanan itu juga menyaksikan dia dipilih sebagai pemain terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Guru sekolah itu, Mohd Adele Alumni memberitahu, sekolah itu terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Sungai Koyan dan sangat dikenali sebagai antara sekolah yang secara konsisten berjaya melahirkan bakat baharu dalam sukan berkenaan.

Menurutnya, ramai daripada murid sekolah berkenaan mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah sukan terkenal di seluruh negara.

"Walaupun ramai murid menerima tawaran ke sekolah sukan, namun ada antaranya menolak tawaran itu kerana enggan berjauhan daripada keluarga dan kampung halaman, selain masih mempunyai sifat pemalu dan kurang selesa untuk bergaul dengan masyarakat luar.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah satu kerugian kerana peluang sudah ada untuk mereka mengembangkan bakat yang mereka miliki... ada yang memilih untuk kekal (menetap) di sini dan menyambung pelajaran peringkat menengah di sekolah berhampiran perkampungan mereka sahaja" katanya.

Jelasnya, seramai 20 murid sekolah berkenaan sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah sukan sejak beliau melatih pasukan hoki sekolah itu 17 tahun lalu.

"Saya selalu bawa mereka menyertai kejohanan hoki di dalam dan luar Pahang sebagai pendedahan kepada pemain untuk menguji tahap kemahiran dan kemampuan mereka.

"Ini adalah sumbangan kecil saya sebagai guru yang ingin melihat mereka dapat mengorak langkah lebih jauh dalam sukan hoki.

"Mereka memang mempunyai bakat dan juga kemahiran sama seperti murid di sekolah bandar... kalau boleh, saya harap kerajaan melalui kementerian berkaitan boleh memberi perhatian kepada kami dan menyediakan padang lebih berkualiti untuk keselesaan mereka berlatih," katanya lagi.

Ujarnya, perkara itu sudah disuarakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sesi dialog ketika kunjungan menteri itu semalam dan berharap perkara terbabit mendapat pertimbangan sewajarnya.

Katanya, kemudahan padang latihan menggunakan rumput tiruan sudah pasti dapat meningkatkan lagi mutu permainan murid sekolah itu sekaligus lebih ramai bakat baru dilahirkan.