Jabatan Mufti nasihat penganjuran Tidur Lambak ikut garis panduan syarak

Kenyataan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.
Kenyataan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH – Penganjuran acara 'Tidur Lambak' yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini di sini dinasihatkan supaya dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berautoriti serta dilaksanakan mengikut garis panduan syarak.

Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum penganjuran program berkonsepkan tidur beramai-ramai secara santai oleh Tapir Studio yang diinspirasikan daripada budaya masyarakat Malaysia, khususnya suasana balik kampung.

Menurutnya, acara tersebut dilihat bertujuan menghidupkan semula pengalaman budaya lama dalam pendekatan moden di samping menggalakkan hubungan sosial serta memberi peluang kepada individu merasai pengalaman berkenaan.

"Secara dasarnya, jabatan ini tidak membantah keseluruhan aktiviti yang dirangka. Namun, ia perlu diteliti dengan saksama dengan mengambil kira elemen syarak dan adat Melayu agar tidak mengundang fitnah terhadap agama Islam serta mengabaikan nilai akhlak dan budaya.

"Situasi itu boleh mengundang perkara bercanggah dengan syarak seperti kesukaran menjaga pandangan, pendedahan aurat serta sentuhan antara bukan mahram yang perlu dielakkan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Jelasnya, pelaksanaan syarak dalam kehidupan bertujuan menjaga kemaslahatan manusia dan bukan untuk menyempitkan ruang sosial, sebaliknya sebagai panduan bagi memelihara maruah serta nilai diri.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun acara berkenaan mengetengahkan konsep ketenangan dan nostalgia, kebimbangan utama adalah kemungkinan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram secara terbuka.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak menasihatkan penganjur supaya memperhalusi pelaksanaan program tersebut dan merujuk kepada pihak berautoriti termasuk jabatan mufti serta jabatan agama Islam negeri bagi memastikan ia mematuhi garis panduan syarak.

Jelasnya tiada larangan untuk beraktiviti dan berekreasi namun perlu selari dengan panduan syarak agar matlamat program tercapai tanpa menjejaskan nilai kemuliaan manusia.

Menerusi perkongsian di dalam laman Facebook Tapir Studio, acara Tidur Lambak merupakan pengalaman imersif berasaskan rehat yang sebelum ini pernah dipersembahkan di Kuala Lumpur dan Jakarta sebelum dibawa ke Ipoh.

Program tersebut berlangsung di sebuah bekas kilang papan di Bukit Merah yang diubah menjadi ruang ala 'kampung' dengan susunan tikar dan toto bagi menghidupkan suasana tidur beramai-ramai seperti tradisi balik kampung.

Ia turut menampilkan elemen seni bunyi yang dibimbing oleh artis bunyi, Kamal Sabran, dengan gabungan pengakuan mimpi, frekuensi meditasi dan penyembuhan dalam dua fasa iaitu bersantai secara komunal dan tidur individu.

Konsep itu bertujuan mewujudkan suasana ketenangan serta merapatkan hubungan sosial antara peserta melalui pengalaman berehat secara kolektif.

Ringkasan AI

  • Acara 'Tidur Lambak' dianjur oleh Tapir Studio dan diinspirasikan daripada budaya balik kampung.
  • Jabatan Mufti Negeri Perak mengingatkan supaya acara tersebut perlu dirujuk kepada pihak berautoriti mengikut garis panduan syarak.
  • Kebimbangan utama adalah percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram serta potensi pelanggaran syarak.
  • Penganjur dinasihatkan memperhalusi acara dan berunding dengan jabatan mufti serta jabatan agama Islam negeri.
  • Acara merangkumi elemen seni bunyi, bertujuan mencipta ketenangan dan mengukuhkan hubungan sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!