Covid-19: Kakitangan pembersihan pastikan UUM bersih

Seorang kerja pembersihan UPSB sedang membersihkan pintu di sebuah bangunan di UUM bagi memastikan kawasan kampus bebas wabak Covid-19.
Seorang kerja pembersihan UPSB sedang membersihkan pintu di sebuah bangunan di UUM bagi memastikan kawasan kampus bebas wabak Covid-19.
A
A
A

SINTOK - Ketika orang lain bekerja dari rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kakitangan pembersihan Uniutama Property Sdn Bhd (UPSB) tetap meneruskan tugasan mereka seperti biasa bagi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) bebas daripada wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Jabatan Pembersihan UPSB, Rosimah Yaacob berkata, meskipun arahan PKP telah dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan lagi sehingga 14 April ini, pekerja pembersihan UPSB masih perlu bekerja dalam kampus.

Katanya, kerja-kerja pembersihan di UUM tetap diteruskan seperti biasa, namun dalam jumlah staf yang minima berbanding sebelum arahan PKP dikeluarkan kerajaan.

"Waktu kerja pembersihan juga dipendekkan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja dan proses kerja tersebut adalah sebagai usaha UPSB untuk mengawal penularan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP ini, hanya 150 pekerja sahaja ditugaskan dalam kawasan bangunan, 80 pekerja di kawasan luar seperti padang rumput dan 10 lagi untuk pengurusan sisa pepejal.

“Dalam kita memastikan kampus sentiasa dalam keadaan bersih, UPSB tidak mengabaikan langkah keselamatan untuk pekerja antaranya dengan mengurangkan jumlah staf di kawasan tapak dan hanya staf yang kurang berisiko serta tidak menghadapi masalah kesihatan sahaja yang akan bertugas,” katanya.

Pekerja pembersihan UPSB terus menjalankan tanggungjawab membersihkan kawasan kampus bagi memastikan UUM bebas wabak Covid-19.
Pekerja pembersihan UPSB terus menjalankan tanggungjawab membersihkan kawasan kampus bagi memastikan UUM bebas wabak Covid-19.

Selain itu, Rosimah berkata, demi memastikan tahap kesihatan mereka terkawal, UPSB turut menyediakan peralatan keselamatan seperti topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman semasa melakukan tugasan harian mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja pembersihan di kawasan bangunan lebih tertumpu pada tempat berisiko seperti pintu utama, pemegang atau tombol pintu, besi rel tangga, butang lif, pili paip dan sinki tandas serta kaunter pendaftaran atau kaunter utama.

"Tujuan kami adalah mahu semua warga kampus berasa yakin dengan tahap keselamatan dan kebersihan ketika berada di dalam kampus ini sepanjang pelaksanaan PKP,"katanya.

Sementara itu, kakitangan pembersihan, Rosnasi Ban berkata, sepanjang empat tahun bekerja di sini, tahun ini merupakan satu pengalaman baharu apabila dia perlu bekerja ketika orang lain menjalani arahan PKP.

“Pihak UPSB menjaga kebajikan semua pekerja dengan menyediakan stok topeng dan sarung tangan, selain mengingatkan kami untuk mengamalkan kebersihan diri semasa dan selepas bekerja.

“Sebelum berjumpa dengan anak-anak, saya akan mandi terlebih dahulu dan mencuci pakaian saya di tempat yang berasingan agar dapat memutuskan rangkaian Covid-19 demi keselamatan keluarga saya,” katanya.

UPSB merupakan anak syarikat Uniutama Management Holdings Sdn. Bhd. (UMHSB) yang dimiliki sepenuhnya oleh UUM.