Sanusi jangan cari salah orang lain - Setiausaha Politik Saifuddin

Saifuddin Nasution dan Muhammad Sanusi.
Saifuddin Nasution dan Muhammad Sanusi.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, disaran agar fokus menyelesaikan masalah rakyat berkenaan isu air daripada terus mencari kesalahan orang lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim berkata, sindiran Sanusi menerusi hantaran di Facebook yang langsung tidak menyentuh isu air Kedah dibangkitkan mahasiswa ketika Jelajah Ikon Madani kelihatan agak canggung.

Sedangkan jelas beliau, dalam program dihadiri Saifuddin itu, mahasiswa membangkitkan tentang mutu perkhidmatan bekalan air Kedah yang cukup teruk termasuk kewajaran isu Kedah menuntut Pulau Pinang sebagai wilayahnya.

"Semua yang hadir boleh lihat bahawa sesi soal jawab tersebut berjalan dengan cukup aktif, tiada soalan disekat yang jelas ternyata mahasiswa cukup cakna dalam hal ini.

"Tidak timbul isu halangan untuk sesiapa merakam, siaran langsung tidak dapat dibuat kerana capaian internet di situ yang teruk.

"Rakaman telah dibuat dan akan disiarkan penuh di media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam hantaran di Facebook pada Ahad, Sanusi secara sinis mempersoalkan program dihadiri Saifuddin yang didakwa dibuat secara sembunyi.

Beliau juga mendakwa Saifuddin telah mengakui projek RM1.6 bilion secara keseluruhannya datang daripada Kerajaan Perpaduan.

Mengulas berhubung isu projek RM1.6 bilion, Johari membidas dengan meminta Sanusi agar tidak berburuk sangka.

Ini kerana, hal yang selalu disebut di banyak tempat bahawa Kerajaan Persekutuan komited terhadap sejumlah 453 projek melibatkan peruntukan sebanyak RM 1.6 bilion melibatkan projek baharu dan projek tertangguh serta projek fizikal dan bukan fizikal.

"Selaku Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, hampir setiap hujung minggu Saifuddin berada di Kedah untuk memantau dan lihat sendiri projek-projek kepada rakyat yang perlu diselesaikan segera.

"Komitmen Kerajaan Perpaduan tidak berbelah bahagi terhadap aspek pembangunan Negeri Kedah, bukan itu sahaja, kita juga ingin pastikan bahawa semua projek ini siap dalam tempoh masanya," katanya.