Bot pelancong terdampar di Sabak Bernam

Bot dinaiki lima warga asing yang terkandas di Ban Pecah Sungai Apong, Sabak Bernam kelmarin.
Bot dinaiki lima warga asing yang terkandas di Ban Pecah Sungai Apong, Sabak Bernam kelmarin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sebuah bot dinaiki lima warga asing mengalami kerosakan sebelum terdampar di Ban Pecah Sungai Apong di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, bot terbabit dinaiki dua lelaki dan dua wanita warga Thailand serta seorang lelaki Britain yang merupakan suami kepada wanita warga Thailand.

Menurutnya, mereka yang mempunyai dokumen perjalanan sah dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 29 Mac lalu.

"Bagaimanapun, bot berkenaan mengalami kerosakan enjin, tiada caj elektrik dan kegagalan fungsi Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

"Kejadian itu mengakibatkan bot tersebut terdampar di perairan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Agus Salim berkata, bot pelancong itu mula berlepas dari Thailand ke Singapura pada 18 Februari lalu dan sehari selepas itu bot tersebut kemudian masuk ke negara ini namun mengalami kerosakan pada enjin bot.

"Disebabkan tiada tempat baik pulih, enjin bot dinaiki mereka ditunda bot nelayan Indonesia ke Bangkali, Indonesia untuk dibaiki.

"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke Thailand bot mereka rosak sekali lagi dan terkandas di Ban Pecah Sungai Apong bagi meminta bantuan makanan serta minuman. Bot terbabit kemudian ditunda ke Hutan Melintang untuk dibaik pulih," kata beliau.

Artikel Berkaitan: