Misi bantuan makanan ke pedalaman Sarawak bermula esok

Fatimah
Fatimah
A
A
A

KUCHING - Bantuan makanan untuk masyarakat luar bandar di Sarawak akan dihantar melalui pengangkutan udara bermula esok kepada 2,868 ketua isi rumah di enam kawasan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan syarikat perkhidmatan udara milik kerajaan negeri, Hornbill Skyways akan melaksanakan tugas penghantaran itu.

"Ketika ini kami mempunyai dua helikopter (daripada TUDM dan Hornbill Skyways), penghantaran makanan menggunakan helikopter boleh disempurnakan dalam masa empat hari," katanya sambil menambah keadaan cuaca menjadi antara faktor yang menentukan pergerakan penerbangan itu.

Beliau berkata, enam kawasan yang dikenal pasti ialah Telang Usan, Mulu, Batu Danau, Batang Ai, Murum dan Meluan, selain terdapat juga permintaan bantuan daripada kawasan Baleh, bahagian Kapit.

"Penduduk di Kapit akan mengemukakan maklumat yang diperlukan (untuk penghantaran bekalan makanan) kepada sekretariat (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri)," katanya.

Fatimah berkata, ketua isi rumah di kawasan luar bandar itu adalah daripada 444,329 ketua isi rumah di Sarawak yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri untuk menerima bantuan makanan negeri yang diumum Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, minggu lepas.

Abang Johari yang memperuntukkan sebanyak RM16.4 juta untuk bantuan itu akan menyaksikan penghantaran pertama bantuan berkenaan ke Bario, kawasan tanah tinggi terpencil di pedalaman Sarawak, dari Miri esok.

"Bantuan itu bagi memastikan 'ada makanan di atas meja', terutama dalam kalangan isi rumah yang terjejas teruk akibat PKP dengan penyelarasan akan dilakukan Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, sebanyak 67 kawasan di Sarawak mula menerima bantuan makanan itu. - Bernama