Paluan kompang satukan anak muda Klebang Selatan

Kumpulan Kompang Klebang Selatan bergerak aktif dengan menerima jemputan persembahan di pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan, sambutan Maulidur Rasul serta persembahan pentas sepanjang Ramadan di pusat beli-belah.
Kumpulan Kompang Klebang Selatan bergerak aktif dengan menerima jemputan persembahan di pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan, sambutan Maulidur Rasul serta persembahan pentas sepanjang Ramadan di pusat beli-belah.
A
A
A

IPOH - Bunyi paluan kompang yang bergema di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Klebang Selatan di sini bukan sekadar irama penyeri majlis, sebaliknya menjadi lambang kesinambungan tradisi yang diwarisi turun-temurun oleh generasi muda.

Bagi Mohammad Fikri Arif Baharudin, 37, usaha memastikan irama kompang terus berkumandang bukan sekadar minat, tetapi amanah yang dipikul selepas pemergian bapanya empat tahun lalu.

Mohammad Fikri yang kini bertindak sebagai penasihat kepada Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan meneruskan legasi arwah bapanya, Baharudin Mahmood yang merupakan pengasas kumpulan kompang berkenaan sejak tahun 2008.

Menurutnya, ketika kumpulan itu mula ditubuhkan, beliau masih kecil dan baru belajar mengenali rentak permainan kompang yang dipimpin oleh bapanya yang juga seorang anggota polis.

Kini selepas hampir dua dekad, kumpulan tersebut terus bergerak aktif dengan menerima jemputan persembahan di pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan, sambutan Maulidur Rasul serta persembahan pentas sepanjang Ramadan di pusat beli-belah.

Menurut Mohammad Fikri, dalam sebulan kumpulan itu boleh menerima sekitar empat hingga lima jemputan persembahan, sekali gus menjadikan kompang sebagai aktiviti seni yang turut memberi pendapatan sampingan kepada ahli-ahlinya.

Tambah beliau, kewujudan kumpulan kompang tersebut secara tidak langsung menjadi platform menghimpunkan anak muda di Klebang Selatan dan mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Dulu ahli kumpulan ini hampir 40 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk golongan dewasa dan veteran. Sekarang lebih kurang 25 hingga 30 orang, kebanyakannya anak muda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kewujudan kumpulan kompang secara tidak langsung menjadi platform menghimpunkan anak muda di Klebang Selatan dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
Kewujudan kumpulan kompang secara tidak langsung menjadi platform menghimpunkan anak muda di Klebang Selatan dan mengeratkan hubungan sesama mereka.

Ahli kumpulan itu merangkumi pelajar sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, dengan pemain paling muda berusia sekitar 11 tahun manakala pemain paling senior dalam lingkungan akhir 40 tahun.

Bagi memastikan kemahiran pemain sentiasa berada pada tahap terbaik, latihan biasanya diadakan beberapa hari sebelum sesuatu persembahan bagi menyelaraskan rentak dan memperkemaskan susunan lagu.

Keunikan kumpulan ini turut terserlah melalui susunan muzik yang memadukan beberapa teknik pukulan kompang seperti melingkah, menyelang, menganak dan menalu.

Selain itu, penggunaan kompang jidor sebagai pelengkap bunyi menjadikan alunan muzik mereka lebih bertenaga dan menarik perhatian penonton.

Mohammad Fikri menambah, kebanyakan kompang yang digunakan kumpulan tersebut ditempah khas dari Johor yang terkenal sebagai antara tempat asal perkembangan seni permainan kompang di negara ini.

Menariknya, kumpulan tersebut turut memperkenalkan variasi persembahan dengan menyelitkan lagu rakyat popular Injit-injit Semut yang diolah semula dalam bentuk paluan kompang.

Lagu yang dihasilkan oleh tenaga pengajar kumpulan itu, Adi Zulfadhli Assmadey bersama rakannya Muhammad Jazli Md Japri itu sering menjadi penutup persembahan dan berjaya mencuri perhatian orang ramai.

Menurut Mohammad Fikri, susunan lagu tersebut bukan sahaja menjadi tanda penghargaan kepada tuan rumah, malah sering membuatkan penonton teruja untuk merakam serta berkongsi persembahan mereka di media sosial.

Malah beberapa rakaman persembahan kumpulan itu turut tular di platform TikTok sekali gus membantu memperkenalkan kumpulan kompang tersebut kepada khalayak lebih luas.

Penggunaan kompang jidor sebagai pelengkap bunyi menjadikan alunan muzik mereka lebih bertenaga dan menarik perhatian penonton.
Penggunaan kompang jidor sebagai pelengkap bunyi menjadikan alunan muzik mereka lebih bertenaga dan menarik perhatian penonton.

Bagi pemain muda seperti Damian Qhlaish Irfan Yussairi, 14, penyertaannya dalam kumpulan itu membuka peluang untuk mempelajari seni tradisi yang sebelum ini hanya dilihat dimainkan oleh ahli keluarganya.

Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai itu berkata, minatnya timbul selepas melihat saudara-mara bermain kompang sebelum menyertai kumpulan tersebut hampir setahun lalu.

“Saya banyak belajar daripada abang-abang dalam kumpulan ini. Kadang-kadang saya berlatih sendiri di rumah dengan pukul kompang di lutut untuk faham langkah dan rentaknya,” katanya yang berbangga dapat menguasai seni tersebut pada usia muda.

Bagi seorang lagi peserta, Wan Fariz Irfan Wan Farizal Ahmad, 18, penyertaannya dalam kumpulan itu bermula secara tidak sengaja selepas diajak rakan-rakan ketika bermain sepak takraw.

Menurut anak sulung dari dua beradik itu, minat terhadap kompang semakin mendalam selepas diberikan peluang membawa pulang kompang untuk berlatih sendiri di rumah sehingga berjaya menguasai asas permainan dalam masa seminggu.

Walaupun pada awalnya sering ditegur ibunya kerana bunyi kompang yang kuat di rumah, Wan Fariz mengakui pengalaman itu berbaloi kerana kini dapat mengenali seni muzik tradisional.

Ringkasan AI

  • Bunyi paluan kompang di KRT Klebang Selatan simbol kesinambungan tradisi turun-temurun
  • Mohammad Fikri Arif Baharudin meneruskan legasi arwah bapanya sebagai penasihat Persatuan Kelab Kompang Klebang Selatan
  • Kumpulan kompang aktif terima jemputan persembahan di acara seperti majlis perkahwinan dan sambutan Maulidur Rasul
  • Ahli kumpulan merangkumi pelajar sekolah hingga universiti dengan pemain termuda berusia 11 tahun
  • Kumpulan menampilkan susunan muzik unik dengan teknik pukulan kompang variatif dan penggunaan kompang jidor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!