Buruh sebak, anak, isteri sambut raya bersama di pusat reintegrasi

Rafiq (tengah) dipeluk anak-anaknya. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Rafiq (tengah) dipeluk anak-anaknya. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
A
A
A

KUALA KRAI – Seorang buruh tidak dapat menahan sebak apabila wajah isteri dan empat anaknya muncul di depan mata buat pertama kali selepas lebih 20 bulan terpisah kerana dihukum penjara akibat kesalahan dadah.

Detik itu lebih bermakna buat lelaki dikenali sebagai Rafiq, 40, tersebut apabila dapat meraikan Aidilfitri bersama insan kesayangan walaupun pada Syawal keempat.

“Sedih sebab raya di dalam ini tanpa anak-anak, ini pertama kali. Saya rindu sangat pada semua mereka,” ucapnya perlahan dengan suaranya tersekat-sekat.

Rindu yang terpendam sepanjang setahun lebih berada di pusat tersebut akhirnya terlerai dengan pelukan hangat anak-anaknya yang berusia tujuh hingga 14 tahun semasa Perjumpaan khas Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kuala Krai di sini pada Selasa.

Rafiq kini menjalani hukuman tiga tahun empat bulan di bawah Seksyen 39(c) berkaitan kesalahan dadah dan bakal bebas pada 2028.

Rafiq (tengah) yang meraikan Aidilfitri bersama anak-anaknya.  - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Rafiq (tengah) yang meraikan Aidilfitri bersama anak-anaknya.  - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

Lebih menyentuh hati, isteri dan anak-anak hadir berbaju sedondon berwarna ungu memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama.

Lelaki itu berkata, hubungan dengan anak-anaknya sangat rapat, terutamanya dengan anak sulung perempuan.

Artikel Berkaitan:

“Anak-anak memang rapat dengan saya, itu yang paling terasa bila tak jumpa lama,” katanya.

Sebelum ini, dia bekerja dalam sektor pembinaan, tetapi terjebak dengan kegiatan penagihan dadah.

Ahli keluarga yang hadir menyambut Aidilfitri bersama orang diselia. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Ahli keluarga yang hadir menyambut Aidilfitri bersama orang diselia. - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

Isterinya yang berusia 39 tahun itu kini bekerja sebagai pembantu kedai makan sejak setahun lalu untuk menyara keluarga selepas lelaki itu dipenjarakan.

Walaupun pendapatannya tidak banyak, wanita itu tetap berusaha menyediakan kelengkapan Aidilfitri buat anak-anak dibeli sedikit demi sedikit setiap kali menerima gaji.

Untuk memastikan pertemuan singkat itu berlaku, dia sanggup meminjam kereta adik ipar dan bertolak seawal jam 6.40 pagi dari Pasir Puteh supaya mereka sekeluarga dapat beraya bersama.

Walaupun diuji, wanita itu memilih untuk terus setia menunggu dan memaafkan suaminya.

“Dia pun dah berubah, dia tetap suami saya, bapa kepada anak-anak. Saya sabar dan tunggu dia pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua PRP Kuala Krai, Penguasa Penjara, Jaini Ayong Rajawa berkata, program sambutan Aidilfitri membabitkan 105 orang diselia dan hampir 600 ahli keluarga mereka itu bertujuan memberi peluang kepada penghuni bertemu keluarga, di samping meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk terus menjalani program pemulihan dengan baik.

Jaini Ayong - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
Jaini Ayong - Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

“Setiap pertemuan ini adalah penting kerana mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memberikan penghuni rasa dihargai

“Ini juga sebagai persediaan penghuni bebas dalam tempoh kurang tiga tahun lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, penghuni di pusat berkenaan terlibat dalam aktiviti vokasional seperti pertanian, penternakan dan pembuatan.

“Hasil daripada aktiviti ini akan disalurkan semula ke akaun kerajaan sebagai sokongan ekonomi bagi program pemulihan.

“Mereka juga mendapat elaun RM200 sebulan bagi persediaan bebas kelak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang buruh dihukum penjara lebih 20 bulan kerana kesalahan dadah
  • Berjaya meraikan Aidilfitri bersama keluarga setelah terpisah lama
  • Menerima pelukan hangat dari anak-anaknya semasa perjumpaan khas Aidilfitri
  • Isteri bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menyara keluarga
  • Program sambutan Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!