Teruja sambut raya selepas bebas kanser

ALOR SETAR – Selepas hampir lapan tahun berjuang melawan kanser, seorang remaja perempuan kini teruja dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan apabila berpeluang membeli pakaian raya bersama pesakit kanser lain.
Nurin Amira Aleya Mohd Khairi, 19, berkata, ketika menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum ini, dia tidak mempunyai semangat menyambut Aidilfitri kerana perlu memberi tumpuan kepada rawatan penyakitnya.
Menurutnya, pengalaman itu menyebabkan dia tidak pernah merasai kegembiraan membeli pakaian raya seperti remaja lain.
“Sebelum ini ketika menjalani rawatan kemoterapi di hospital, saya tidak merasai suasana memakai baju raya malah tidak bersemangat untuk menyambut Aidilfitri.
“Tapi sekarang apabila sudah semakin sihat, saya sangat seronok meraikan lebaran selepas hampir lapan tahun berjuang melawan kanser limfoma limfoblastik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Nurin Amira merupakan antara 100 pesakit kanser kanak-kanak menerima sumbangan pakaian Aidilfitri menerusi program anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM).
Katanya, peluang membeli pakaian raya memberi kegembiraan buat dirinya selain membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga.
"Saya disahkan menghidap kanser ketika berusia lapan tahun dan berulang-alik ke HPP menjalani rawatan kemoterapi serta pemeriksaan susulan.
“Apabila doktor beritahu sel kanser semakin berkurangan, saya sangat gembira. Dahulu berat badan saya turun kerana tidak lalu makan.
“Tetapi sekarang sudah semakin meningkat dan saya perlu terus menjaga kesihatan,” katanya yang kini menuntut di Kolej Tingkatan Enam Sultan Salehuddin (KTESS), Hutan Kampung di sini.
Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, seramai 100 pesakit kanser kanak-kanak menerima sumbangan Aidilfitri sebanyak RM200 seorang bagi menceriakan mereka untuk menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, sebahagian pesakit berpeluang membeli pakaian raya di Mydin Alor Setar manakala selebihnya di Mydin Sungai Petani.
Ringkasan AI
- Nurin Amira Aleya Mohd Khairi, remaja perempuan berumur 19 tahun, gembira dapat menyambut Aidilfitri setelah hampir lapan tahun berjuang melawan kanser
- Dia tidak mempunyai semangat menyambut Aidilfitri semasa menjalani kemoterapi di Hospital Pulau Pinang
- Rasa gembira dan bersemangat meningkat setelah kesihatannya bertambah baik dan dapat merasai kegembiraan membeli pakaian raya
- Nurin Amira adalah antara 100 pesakit kanser kanak-kanak yang menerima sumbangan pakaian Aidilfitri melalui program anjuran Cancer Survivors Malaysia
- Sumbangan tersebut membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga dan memberi kegembiraan kepada penerima seperti Nurin Amira
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

