Hampir 20 tahun sambut raya di perantauan

Mubarak
Mubarak
A
A
A

SHAH ALAM – Pengalaman menyambut Aidilfitri di perantauan bukan sesuatu yang asing buat seorang pemuda kelahiran Nigeria yang telah menetap di Malaysia sejak berusia dua tahun.

Mubarak Olohuntogun Mohammed Muneer’deen Olodo Al-Shafi’i, 21, berkata, dia dilahirkan dalam keluarga Islam dan tidak pernah menyambut perayaan Aidilfitri di kampung halamannya.

Ujarnya, sejak dilahirkan pada 2005, keluarga Mubarak mengikuti bapanya yang ketika itu melanjutkan pengajian di Mesir sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2007.

"Ketika itu saya masih berumur dua tahun. Sembilan tahun kemudian, keluarga saya berpindah pula ke Terengganu dan menetap di sana sampai sekarang.

"Jadi setakat ini saya belum pernah sambut perayaan Aidilfitri di kampung halaman sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar Mubarak, selepas hampir dua dekad meraikan Aidilfitri di negara ini, suasana perayaan tersebut kini dirasakan lebih dekat dan bermakna di hatinya.

Berkongsi pandangannya, Mubarak turut menyifatkan keunikan sambutan Aidilfitri di Malaysia terletak pada tradisi budaya kunjung-mengunjung dan layanan mesra masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Perkara paling menarik bagi saya ialah budaya ziarah. Kita boleh pergi ke rumah sesiapa sahaja, sama ada kenal atau tidak, dan tetap akan disambut dengan baik.

"Tuan rumah akan jemput makan dan minum, malah beri duit raya juga.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, sifat terbuka dan meraikan tetamu itu tetapi hampir semua orang mempunyai sikap yang sama,” ujarnya.

Kata Mubarak yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini, meskipun tidak pernah menyambut perayaan Aidilfitri di Nigeria, namun dia tetap berhubung dengan keluarga di sana secara berkala, termasuk ketika hari raya.

“Kami akan hubungi keluarga setiap bulan, dan khusus pada hari raya, memang wajib buat panggilan untuk tanya khabar dan ucap selamat,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Mubarak Olohuntogun Mohammed Muneer'deen Olodo Al-Shafi'i, pemuda Nigeria, menetap di Malaysia sejak berusia dua tahun
  • Sejak dilahirkan, tidak pernah menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Nigeria
  • Pindah ke Kuala Lumpur pada 2007 bersama keluarga dan kemudiannya ke Terengganu
  • Merasa suasana Aidilfitri di Malaysia lebih dekat dan bermakna setelah hampir dua dekad
  • Menyifatkan keunikan Aidilfitri di Malaysia pada tradisi kunjung-mengunjung dan layanan mesra masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!