Hati-hati aplikasi Perdana Menteri Malaysia!

Aplikasi bernama Perdana Menteri Malaysia yang mampu ciri maklumat sensitif. - Foto JPM
Aplikasi bernama Perdana Menteri Malaysia yang mampu ciri maklumat sensitif. - Foto JPM
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) menerima laporan mengenai aplikasi mudah alih bernama Perdana Menteri Malaysia yang menyamar memberikan maklumat mengenai program bantuan koronavirus (Covid-19).

Majlis Keselamatan Negara dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan kepada semakan dan analisis pihaknya mendapati ia palsu dan mengandungi kod hasad (malware).

"Kesan kepada jangkitan perisian hasad ini ialah kecurian maklumat sensitif dan kata laluan.

"NC4 telah menerima satu cakupan skrin yang menunjukkan satu aplikasi bernama Perdana Menteri Malaysia boleh dimuat turun di satu laman sesawang yang meminta pengguna internet memuat turun aplikasi mudah alih android daripada pautan laman tersebut.

"Hasil semakan dan analisis itu digunakan untuk mencuri maklumat perbankan internet dan nombor telefon. Ia juga dapat membaca sistem pesanan ringkas (SMS) daripada telefon mangsa yang boleh digunakan untuk mencuri kod TAC yang diterima daripada perbankan internet," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru NC4 menyarankan agar semua pengguna mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak membuat capaian terhadap pautan yang mencurigakan.

"Selain tu orang ramai diminta tidak memuat turun aplikasi mudah alih melalui pautan yang diterima daripada SMS atau emel.

"Pengguna disarankan untuk tidak klik sebarang pautan daripada SMS mencurigakan. Jika anda telah klik pada pautan itu, jangan beri sebarang maklumat peribadi atau memuat turun sebarang aplikasi android.

Artikel Berkaitan:

"Pastikan sebarang aplikasi android perlu dimuat turun hanya daripada laman rasmi Google Play Store, Apple AppStore, Huawei AppGallery atau Samsung Galaxy Store," katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menyebut, sebarang SMS yang dihantar oleh MKN akan dilabel secara automatik sebagai MKN oleh syarikat telekomunikasi dan tidak mempunyai sebarang nombor untuk dibalas.

"Sebarang maklumat rasmi hanya akan disalurkan melalui akaun media sosial rasmi seperti Telegram, Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang," katanya.