Melestarikan alam demi manusia

Kejayaan agenda perubahan iklim memerlukan pendekatan seluruh negara, undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa komitmen kerajaan negeri, sektor industri dan masyarakat. - Gambar kecil (Arthur Joseph Kurup)
Kejayaan agenda perubahan iklim memerlukan pendekatan seluruh negara, undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa komitmen kerajaan negeri, sektor industri dan masyarakat. - Gambar kecil (Arthur Joseph Kurup)
A
A
A

SEJARAH panjang bumi yang dipercayai bermula sekitar 4.5 bilion tahun lalu sering dijadikan lambang kesedaran tentang pentingnya usaha memelihara alam sekitar.

Namun realitinya, perjuangan menyelamatkan alam sekitar adalah tentang memastikan ekosistem yang mampan demi kelangsungan kehidupan manusia.

Jika difikirkan, bumi tidak memerlukan manusia untuk diselamatkan. Ia telah wujud jauh lebih lama berbanding manusia moden yang hanya sekitar 300,000 tahun.

Dalam garis masa geologi yang luas itu, bumi telah melalui pelbagai episod perubahan iklim yang ekstrem. Zon khatulistiwa purba pernah hampir dilitupi ais dan pada masa yang lain menjadi jauh lebih panas daripada hari ini.

Sepanjang sejarahnya, bumi juga telah melalui sekurang-kurangnya lima peristiwa kepupusan besar, termasuk sekitar 252 juta tahun lalu yang menghapuskan sebahagian besar spesies marin dan daratan.

Dalam setiap krisis tersebut, planet ini tidak musnah. Ia berubah, menyesuaikan diri dan terus berfungsi sebagai sistem fizikal yang kompleks.

Walaupun bumi akan terus bertahan, manusia mungkin tidak mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang terlalu ekstrem.

Justeru, usaha mengawal perubahan iklim bukan soal menyelamatkan planet, tetapi memastikan generasi akan datang mewarisi ekosistem yang stabil, ekonomi yang berdaya tahan dan kehidupan yang selamat.

Hari ini, perubahan iklim bukan lagi isu teori atau perbahasan akademik. Ia sudah menjadi realiti yang dirasai rakyat melalui banjir luar jangka, kemarau berpanjangan, tekanan terhadap sumber air serta ancaman kepada keselamatan makanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kejadian cuaca ekstrem semakin kerap berlaku dan memberi implikasi besar kepada ekonomi negara dan dunia. Infrastruktur rosak, hasil pertanian terjejas dan kos pengurusan bencana meningkat. Realiti ini menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berasaskan undang-undang.

RUUPIN

Sempena musim perayaan Aidilfitri ini, saya ingin mengajak rakyat menyantuni cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang bertujuan memastikan kelestarian alam sekitar diterjemahkan melalui komitmen perundangan, bukan lagi sekadar pilihan kesedaran, khususnya dalam kalangan sektor industri.

RUUPIN penting dalam menjayakan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris. Negara bertekad mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahap tahun 2005. Komitmen ini turut merangkumi sasaran pengurangan pelepasan secara mutlak antara 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2035.

Dengan kata lain, Malaysia bertekad menuju ekonomi rendah karbon dan aspirasi pelepasan sifar bersih. Tekad ini bukan didorong populariti, tetapi keperluan untuk mengekalkan kelestarian alam demi kesejahteraan rakyat hari ini serta generasi masa hadapan.

Bagi menjayakan matlamat ini, RUUPIN memberi tumpuan kepada kawal selia pelepasan gas rumah kaca melalui penetapan sasaran mandatori, pelaksanaan sistem pemantauan, pelaporan dan pengesahan yang telus, serta penubuhan entiti pengawal selia khusus bagi memastikan pematuhan semua sektor.

Langkah ini penting kerana peningkatan gas rumah kaca di atmosfera memerangkap haba dan menyebabkan suhu dunia meningkat. Pemanasan ini mengganggu sistem iklim global, sekali gus mencetuskan cuaca ekstrem seperti hujan lebat yang membawa banjir besar, kemarau berpanjangan, kebakaran hutan serta kenaikan paras laut yang mengancam kawasan pantai dan penempatan manusia.

Seiring dengan itu, kerajaan menetapkan sasaran strategik untuk mewujudkan 200 zon rendah karbon di seluruh negara menjelang tahun 2030, dengan tumpuan khusus kepada kawasan bandar yang menjadi penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca.

Melalui RUUPIN juga kerajaan akan membangunkan pusat data perubahan iklim secara lebih sistematik dan bersepadu. Platform ini membolehkan penyelarasan pengumpulan, penyimpanan dan analisis data bagi tujuan pemantauan kemajuan tindakan iklim, pelaporan yang telus serta penggubalan dasar yang lebih responsif dan berasaskan bukti.

Cukai karbon

Dalam konteks ini, pelaksanaan cukai karbon secara bersasar akan menjadi antara instrumen dasar yang menyokong perubahan industri ke arah operasi yang lebih cekap tenaga dan rendah pelepasan.

Tumpuan awal pelaksanaan cukai karbon akan diberikan kepada sektor berintensiti karbon tinggi seperti industri besi, keluli dan tenaga yang merupakan antara penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah kaca negara.

Pendekatan bersasar ini bertujuan memastikan transformasi ekonomi rendah karbon dapat dilaksanakan secara strategik tanpa menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan.

Syarikat yang mencatat pelepasan melebihi penanda aras yang ditetapkan akan dikenakan cukai sebagai galakan untuk mempercepatkan penggunaan teknologi hijau dan amalan pengeluaran yang lebih mampan.

Hasil kutipan cukai tersebut akan disalurkan semula bagi menyokong langkah adaptasi perubahan iklim serta membantu industri melaksanakan inisiatif pengurangan emisi secara berperingkat.

Kejayaan agenda perubahan iklim memerlukan pendekatan seluruh negara. Undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa komitmen kerajaan negeri, sektor industri dan masyarakat.

Setiap tindakan kecil — daripada cara kita menggunakan tenaga, mengurus sumber air hingga menjaga alam sekitar di peringkat komuniti — akan menentukan masa depan negara.

Usaha melestarikan alam bukan sekadar tentang statistik pelepasan karbon atau sasaran dasar. Ia tentang memastikan anak-anak kita membesar dalam persekitaran yang selamat, petani terus mempunyai tanah yang subur, nelayan masih dapat bergantung kepada laut yang sihat, dan bandar kita kekal selesa untuk didiami. Masa depan Malaysia bergantung kepada pilihan yang kita buat hari ini.

Sempena Aidilfitri yang mulia ini, marilah kita memperbaharui tekad untuk menjaga bumi yang kita warisi bersama — bukan kerana planet ini memerlukan kita, tetapi kerana kitalah yang memerlukan alam ini untuk terus hidup dengan sejahtera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

*** Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

Ringkasan AI

  • Sejarah bumi bermula sekitar 4.5 bilion tahun lalu, simbol pentingnya usaha memelihara alam sekitar untuk kelangsungan hidup manusia
  • Bumi telah melalui pelbagai episod perubahan iklim yang ekstrem sepanjang sejarahnya serta sekurang-kurangnya lima peristiwa kepupusan besar
  • Usaha mengawal perubahan iklim bertujuan memastikan generasi akan datang mewarisi ekosistem yang stabil untuk kehidupan yang selamat
  • Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) digubal untuk memastikan kelestarian alam melalui komitmen perundangan, dengan Malaysia berazam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca
  • Kerajaan menetapkan sasaran untuk mewujudkan zon rendah karbon, mengembangkan pusat data perubahan iklim, dan melaksanakan cukai karbon sebagai usaha menghadapi perubahan iklim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!