Ekonomi berkembang, rakyat sejahtera: Di mana ukuran kejayaan sebenar?

Kenaikan gaji bukan sekadar soal menambah pendapatan nominal tetapi lebih penting ialah peningkatan kuasa beli sebenar setelah mengambil kira perubahan harga barangan dan perkhidmatan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Abdullah)
Kenaikan gaji bukan sekadar soal menambah pendapatan nominal tetapi lebih penting ialah peningkatan kuasa beli sebenar setelah mengambil kira perubahan harga barangan dan perkhidmatan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Abdullah)
A
A
A

EKONOMI Malaysia terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan meskipun dunia berhadapan dengan ketidaktentuan geopolitik, konflik perdagangan dan tekanan kos sara hidup.

Namun, di sebalik angka pertumbuhan yang positif, persoalan lebih besar perlu diberikan perhatian. Sejauh manakah kemajuan ekonomi negara benar-benar dirasai oleh rakyat?

Persoalan ini penting kerana kejayaan ekonomi tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan pelaburan atau perkembangan pasaran kewangan semata-mata.

Sebaliknya, kejayaan sebenar perlu diterjemahkan melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti dan kemampuan rakyat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Berdasarkan Belanjawan 2027, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.8 hingga 5.3 peratus pada 2026, manakala pertumbuhan pada 2027 dijangka antara 4.2 hingga 5.2 peratus. Unjuran ini memberikan gambaran bahawa asas ekonomi negara kekal berdaya tahan meskipun persekitaran global semakin mencabar.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi yang baik belum tentu menggambarkan tahap kesejahteraan setiap isi rumah. Bagi sebahagian rakyat, kenaikan harga makanan, perumahan, pengangkutan dan perkhidmatan masih memberikan tekanan terhadap perbelanjaan harian.

Di sinilah wujudnya jurang antara pertumbuhan ekonomi pada peringkat negara dengan realiti kehidupan rakyat.

Pendapatan rakyat mesti berkembang

Antara cabaran utama ekonomi Malaysia ialah memastikan peningkatan produktiviti diterjemahkan kepada pendapatan atau gaji pekerja yang lebih baik. Ekonomi tidak boleh terus bergantung pada model pertumbuhan berasaskan kos buruh rendah sekiranya negara berhasrat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 merupakan langkah untuk memperkukuh paras minimum pendapatan pekerja. Namun, keberkesanannya perlu dinilai bersama-sama dengan kemampuan perusahaan meningkatkan produktiviti dan menyesuaikan kos operasi.

Dalam konteks ini, kenaikan gaji bukan sekadar soal menambah pendapatan nominal. Lebih penting ialah peningkatan kuasa beli sebenar setelah mengambil kira perubahan harga barangan dan perkhidmatan.

Sekiranya pendapatan meningkat tetapi kos sara hidup berkembang lebih pantas, kesejahteraan rakyat masih sukar diperbaiki. Justeru, dasar pendapatan, peningkatan produktiviti dan pengurusan kos sara hidup perlu bergerak seiring.

Bantuan bersasar tetap penting, tetapi penyelesaian jangka panjang memerlukan ekonomi yang membolehkan rakyat menjana pendapatan lebih tinggi secara mampan.

Pelaburan berkualiti membina masa depan

Malaysia terus berusaha menarik pelaburan domestik dan asing, khususnya dalam sektor semikonduktor, teknologi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.

Namun, kejayaan pelaburan tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah modal yang diumumkan semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana pelaburan tersebut menghasilkan pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan peluang kepada perusahaan tempatan.

Sebagai contoh, pelaburan dalam industri semikonduktor sepatutnya membuka ruang kepada lebih ramai jurutera, juruteknik dan usahawan tempatan untuk menyertai rantaian nilai industri.

Jika pelaburan besar hanya menghasilkan peluang pekerjaan bernilai rendah, manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara menjadi terbatas.

Oleh itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana perlu diperkukuh melalui akses kepada pembiayaan, penggunaan teknologi dan pembangunan kemahiran supaya tidak tercicir daripada perkembangan ekonomi baharu.

Pendidikan sebagai pelaburan ekonomi

Dalam menghadapi perubahan teknologi dan perkembangan kecerdasan buatan, pendidikan perlu dilihat sebagai pelaburan strategik negara.

Sekolah, universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut menguasai kemahiran yang diperlukan oleh industri.

Cabaran ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki pekerja dengan keperluan pekerjaan perlu ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu melahirkan ramai graduan yang akhirnya terpaksa menerima pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan mereka.

Oleh itu, hubungan antara institusi pendidikan dengan industri perlu diperkukuh melalui latihan praktikal, penyelidikan gunaan dan pembangunan kurikulum yang responsif terhadap perubahan ekonomi.

Pendidikan yang berjaya bukan sekadar menghasilkan graduan, tetapi membina keupayaan manusia untuk meningkatkan produktiviti dan mewujudkan ekonomi bernilai tinggi.

Tatakelola dan keberkesanan pembangunan

Aspek yang tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan ekonomi ialah tatakelola dan pengurusan kewangan awam. Belanjawan 2027 memperlihatkan komitmen kerajaan untuk meneruskan pembangunan ekonomi dan perlindungan rakyat.

Namun, jumlah peruntukan yang besar tidak semestinya menjamin keberkesanan sesuatu dasar. Dari perspektif ekonomi dan kewangan awam, setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberikan nilai kepada masyarakat.

Pembinaan sekolah, hospital, infrastruktur dan kemudahan latihan bukan sahaja perlu dinilai berdasarkan kos atau tahap perbelanjaan, tetapi juga berdasarkan manfaat sebenar yang diterima rakyat.

Ketelusan perolehan, keberkesanan pemantauan, pengukuhan audit dan akauntabiliti institusi merupakan asas penting untuk mengurangkan ketirisan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Dalam keadaan ini, kerajaan perlu mengimbangi keperluan pembangunan dengan disiplin fiskal serta kecekapan penggunaan sumber.

Ketahanan ekonomi dalam dunia tidak menentu

Konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan perdagangan antarabangsa turut mengingatkan Malaysia tentang pentingnya membina ketahanan ekonomi domestik.

Kebergantungan yang berlebihan kepada pasaran tertentu boleh meningkatkan kerentanan negara apabila berlaku kejutan luaran. Justeru, Malaysia perlu memperkukuh aspek keterjaminan dan keselamatan makanan, mempelbagaikan sumber pertumbuhan serta membangunkan industri tempatan yang lebih berdaya saing.

Pada masa yang sama, jurang pembangunan ekonomi antara negeri dan wilayah perlu ditangani melalui perancangan yang lebih strategik, menyeluruh dan berteraskan potensi ekonomi setempat.

Pembangunan tidak seharusnya tertumpu di kawasan tertentu sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira kelebihan geografi, sumber ekonomi, infrastruktur dan keperluan masyarakat di setiap wilayah.

Pendekatan ini penting bagi mewujudkan taburan aktiviti ekonomi yang lebih seimbang, memperluas peluang pekerjaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih saksama oleh seluruh rakyat.

Justeru, hala tuju ekonomi Malaysia menjelang 2030 perlu berpaksikan tiga teras utama, iaitu ekonomi yang produktif dan berdaya saing, rakyat yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi, dan institusi yang berintegriti serta berteraskan tadbir urus yang baik.

Kesepaduan ketiga-tiga teras ini menjadi asas penting dalam membina ekonomi negara yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Akhirnya, kejayaan ekonomi sesebuah negara tidak seharusnya diukur semata-mata melalui angka pertumbuhan yang memberangsangkan, tetapi melalui sejauh mana kemakmuran tersebut dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

Pertumbuhan ekonomi mesti membuka ruang kepada peningkatan pendapatan, peluang kehidupan yang lebih baik dan pengagihan manfaat pembangunan yang lebih saksama.

Sesungguhnya, kekuatan sebenar ekonomi Malaysia bukan sekadar terletak pada kemampuan negara mencipta kekayaan, tetapi pada keupayaannya memastikan kemakmuran itu dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Kerana pada akhirnya, ekonomi yang benar-benar berjaya bukan sekadar menjadikan negara lebih kaya, tetapi juga menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera dan masa depan generasi akan datang lebih terjamin.

*Prof. Dr. Mohd Abdullah Haji Jusoh ialah seorang Profesor di Jabatan Pengurusan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!