Kit penghadang banjir: Kurangkan air, kurangkan kos pasca banjir

BANJIR di Selangor bukan lagi kejadian luar biasa. Hujan lebat selama beberapa jam sahaja boleh menenggelamkan jalan, memasuki rumah dan meninggalkan kesan yang berpanjangan, bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, tetapi juga melibatkan kos yang tinggi dan tenaga untuk membersihkan rumah selepas banjir surut.
Kejadian terkini, pada 2 November 2026, banjir kilat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang, Shah Alam (Seksyen 13 dan Bukit Jelutong) dan Setia Alam.
Lebih 500 rumah dilaporkan terjejas di sekitar Sungai Buloh, manakala beberapa kawasan mengalami kenaikan air yang pantas. Pada malam yang sama, sebahagian laluan jalanraya NKVE antara Shah Alam dan Setia Alam terpaksa ditutup sementara akibat banjir.
Persoalannya, sementara kita menunggu penyelesaian berskala besar seperti naik taraf sistem saliran, kolam takungan dan tebatan sungai, apakah yang boleh dilakukan oleh pemilik rumah?
Satu penyelesaian yang wajar diberi perhatian ialah penggunaan kit penghadang banjir mudah alih atau portable flood barrier kit.
Kos sebenar bermula selepas air surut
Apabila bercakap tentang kerugian banjir, kita sering memikirkan kerosakan perabot, kereta atau peralatan elektrik. Namun terdapat satu lagi kos yang jarang diberi perhatian iaitu kos membersihkan rumah.
Selepas banjir, rumah tidak boleh dibersihkan dengan sekadar disapu dan dimop. Lumpur dan selut yang dibawa semasa banjir perlu dikeluarkan, dinding, lantai dan perabot harus dicuci bersih dan dinyahkuman. Bukan suatu rutin yang biasa, pembersihan ini memerlukan modal yang tinggi dan yang lebih penting ia memerlukan tenaga manusia.
Kajian kes Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai kesan kerugian banjir di Klang, Selangor, merekodkan anggaran purata perbelanjaan RM1,179 bagi kerja pembersihan pasca banjir.
Bagi sesebuah keluarga, RM1,179 bukan jumlah yang kecil — terutama apabila ia datang serentak dengan kos membaiki rumah, menggantikan perabot dan membeli semula peralatan elektrik yang rosak akibat banjir.
Malah, anggaran pasaran pada 2026 menunjukkan bahawa perkhidmatan pembersihan selepas banjir boleh berada sekitar RM400 hingga RM800 bagi rumah kecil, sekitar RM800 hingga RM1,500 bagi rumah sederhana, dan boleh meningkat kepada RM1,800 hingga RM3,000 atau lebih bagi rumah besar atau fasilti yang mengalami pencemaran yang serius.
Kos ini biasanya melibatkan pembuangan sisa lumpur, pencucian lantai dan dinding serta sanitasi asas. Ini belum mengambil kira kos membuang tilam, sofa dan kabinet yang rosak total, kos pembaikan pintu atau dinding, rawatan kulat serta penggantian peralatan elektrik.
DOSM sendiri menganggarkan kerugian akibat banjir di Malaysia pada tahun 2025 berjumlah RM636.9 juta, termasuk RM183.8 juta melibatkan tempat kediaman. Selangor mencatatkan jumlah kerugian banjir sekitar RM52.9 juta pada tahun tersebut.
Justeru, persoalan yang lebih penting ialah: bolehkah kita mengurangkan jumlah air yang memasuki rumah sejak awal dan menghindari lebih banyak kerugian akibat banjir?
Di sinilah idea kit penghadang banjir memainkan peranan. Penyelidikan melalui beberapa Projek Tahun Akhir Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA Shah Alam telah membangunkan pelbagai bentuk benteng banjir mudah alih untuk pintu kediaman.
Salah satu reka bentuk yang ditambah baik berjaya menahan paras air kira-kira 0.40 meter selama 30 minit tanpa kebocoran yang dapat diperhatikan. Satu lagi reka bentuk mengekalkan paras air kira-kira 0.30 meter selama 60 minit tanpa merekodkan resapan air di belakang benteng.
Hasil ujikaji ini penting kerana matlamat kit penghadang banjir bukan semestinya menjadikan sebuah rumah kalis banjir sepenuhnya tetapi matlamat utamanya ialah mengurangkan kemasukan air banjir ke dalam rumah.
Jika tanpa benteng, air akan memasuki rumah sehingga 30 sentimeter natau lebih dan membawa bersama lumpur, sampah dan air tercemar yang boleh menyebabkan kerugian harta benda dan menjadi punca pelbagai penyakit berjangkit.
Tetapi jika benteng berjaya menghalang atau sekurang-kurangnya melambatkan air daripada masuk, kerugian wang dan kerja pasca banjir boleh dikurangkan dengan ketara.
Kos pembersihan tidak menggambarkan keseluruhan beban. Bayangkan keadaan sebuah keluarga selepas banjir. Air sudah surut, tetapi rumah dipenuhi lumpur dan selut serta sampah sarap dari punca yang tidak diketahui. Sofa yang terendam dengan air banjir perlu diangkat keluar.
Tilam basah perlu dibuang. Peti sejuk dan mesin basuh perlu diperiksa. Lantai perlu disental berkali-kali. Dinding perlu dicuci dan dikeringkan.
Bagi warga emas, ibu tunggal atau keluarga yang mempunyai ahli kurang upaya, kerja sebegini boleh menjadi jauh lebih mencabar. Maka nilai sebenar kit penghadang banjir bukan hanya berapa ringgit yang dapat dijimatkan. Ia juga tentang berapa jam atau hari kerja pembersihan yang dapat dielakkan.
Konsepnya mudah:
Amaran banjir → pasang benteng → kurangkan air masuk → kurangkan kerosakan → kurangkan kos pembersihan → pemulihan lebih cepat.
Dari projek pelajar kepada penyelesaian komuniti
Hasil penyelidikan pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Shah Alam menunjukkan bahawa konsep ini boleh dibangunkan lagi menjadi satu Malaysian Flood Barrier Kit yang ringan, boleh dilaras, mudah disimpan dan boleh dipasang oleh seorang atau dua orang dalam masa beberapa minit.
Langkah seterusnya ialah mengujinya dalam keadaan sebenar di kawasan banjir berulang di Selangor — bukan sekadar mengukur kebocoran, tetapi juga mengukur berapa banyak kos pembersihan dan kerosakan rumah yang boleh dielakkan.
Bayangkan jika sebuah kit bernilai beberapa ratus ringgit boleh digunakan berulang kali dan mampu mengurangkan kos pembersihan yang secara purata boleh melebihi RM1,000 setiap kali rumah dilanda banjir. Di situlah nilai ekonominya menjadi jelas.
Kita mungkin tidak mampu menghentikan hujan. Kita juga mungkin tidak mampu memastikan setiap kawasan bebas banjir. Tetapi jika kita mampu menghentikan air dan lumpur daripada melepasi pintu rumah, kita bukan sahaja dapat melindungi harta benda.
Kita juga boleh mengurangkan wang, masa dan tenaga yang perlu dibayar selepas air surut. Kadangkala, strategi pengurusan banjir yang berkesan tidak bermula dengan projek bernilai jutaan ringgit. Ia mungkin bermula dengan satu benteng yang dipasang tepat pada masanya — di hadapan pintu rumah sendiri.
*Ir. Dr. Suzana Ramli ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
