X

Kindly register in order to view this article
!

TM perkenal penyelesaian terkini pengesanan awal Covid-19

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Bhd (TM), menerusi cabang inovasinya TM Research and Development (TM R&D) memperkenalkan penyelesaian canggih terkininya, iaitu Amaran Awal, Kesan & Bertindak Balas (Ewar).

TM dalam satu kenyataan hari ini berkata, EWAR boleh mengukur dan mengesan individu dengan suhu badan tidak normal di tengah-tengah kawasan yang sesak, iaitu salah satu simptom yang perlu dilihat dalam kes-kes berpotensi untuk merebak seperti SARS, Ebola dan terkini Covid-19.

Ia berkata, alat penyelesaian itu dilengkapi dwi kamera (haba dan optik) yang mampu mengesan suhu tidak normal sehingga mencapai 15 individu berturut-turut dalam tempoh sesaat.

“Projek membangunkan EWAR bermula pada pertengahan Februari 2020 dan ia dibangunkan menerusi Platform Inovasi Terbuka TM R&D, platform pembangunan perisian terbuka pertama Malaysia, prasarana digital kukuh yang menyediakan eko-sistem lengkap untuk mencipta perkhidmatan baharu di mana sahaja.

“Dengan menggunakan EWAR, pemantauan pada waktu sebenar dan pengesanan awal boleh dilakukan dengan penglibatan manusia yang minimum membawa kepada langkah seterusnya yang diperlukan seperti pengasingan dan rawatan boleh dilakukan dengan kadar segera,” kata TM.

Menurutnya, dengan keupayaan IoT (Internet Pelbagai Benda) daripada OIP, penjejakan hubungan (kontak) boleh dicapai dengan berjaya kerana data dan maklumat dikesan daripada individu yang mengalami demam tinggi boleh disebarkan secara langsung kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk tujuan perancangan dan kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif TM R & D, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, syarikat itu yakin bahawa penyelesaian EWAR akan sangat membantu dalam pengesanan awal suhu tinggi atau tidak normal dalam kalangan orang ramai.

"Oleh kerana penyelesaiannya tidak mengganggu, ia boleh digunakan di pejabat, kompleks beli-belah, hab pengangkutan, universiti, sekolah, kawasan pelancongan, lapangan terbang, pusat perpindahan, hospital, bahkan hampir semua lokasi untuk pejalan kaki.

"Kami yakin pembangunan EWAR ini tepat pada masanya beserta pelaksanaannya yang mudah, kami akan dapat membantu membanteras virus berjangkit seperti Covid-19 dan akhirnya menanganinya," katanya.

Organisasi dan individu yang berminat boleh menghubungi [email protected], manakala maklumat lanjut mengenai TM R & D dan produk dan perkhidmatannya boleh didapati di www.tmrnd.com.my. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!