X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS dibuka dalam tempoh terdekat

Dr Adham (depan, kiri) memberi penerangan mengenai persiapan ketika tinjauan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A

SERDANG - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang lengkap dengan kemudahan asas kini bersedia menerima pesakit dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pusat kuarantin yang mempunyai 604 katil itu sebagai persediaan jika jumlah pesakit yang dijangkiti pandemik itu meningkat dengan mendadak.

Menurutnya, idea untuk mewujudkan hospital sementara itu dicetuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berjaya disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Buat masa ini, lain-lain kemudahan seperti Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan kemudahan lain masih dapat menampung jumlah pesakit yang meningkat ini.

"Pembangunan pusat ini antara usaha kerajaan bagi menghadapi kemungkinan jika penularan wabak ini semakin meluas," katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Khas Media ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Adham berkata, selain pesakit dari Lembah Klang, pusat kuarantin ini juga bersedia menerima kemasukan pesakit dari Perak dan Negeri Sembilan.

"Pusat kuarantin ini dapat menampung 604 pesakit yang akan ditempatkan di Dewan A iaitu seramai 400 dan Dewan C berjumlah 204 orang.

"Bagaimanapun hanya pesakit yang stabil, tidak mempunyai gejala atau mempunyai gejala ringan sahaja akan ditempatkan di sini," katanya.

Selain itu katanya, peralatan kecemasan turut disediakan jika ada pesakit yang memerlukan rawatan segera.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus