Kewangan Islam berkembang pesat berbanding konvensional

BNM terus menumpukan usaha mengukuhkan nilai asas kewangan Islam untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat prinsip syariah yang mendasari perkhidmatan kewangan patuh syariah.
BNM terus menumpukan usaha mengukuhkan nilai asas kewangan Islam untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat prinsip syariah yang mendasari perkhidmatan kewangan patuh syariah.
A
A
A

Sistem kewangan Islam telah berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding sistem kewangan konvensional, hasil daripada respons beberapa institusi kewangan mengamalkan strategi mengutamakan kewangan Islam pada peringkat kumpulan.

Menurut Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pada akhir 2019, pembiayaan oleh institusi kewangan Islam mencakupi 39.2 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan sektor perbankan (2018: 37.7 peratus).

“Jumlah dana yang disimpan dan diuruskan di bank Islam kini mewakili 38.0 peratus daripada jumlah keseluruhan deposit sektor perbankan (2018: 36.6 peratus), sementara sumbangan bersih takaful kepada jumlah keseluruhan perniagaan insurans dan takaful terus meningkat kepada 18.3 peratus (2018: 16.6 peratus),” menurut laporan itu.

Sejajar dengan industri kewangan Islam yang matang di Malaysia, BNM terus menumpukan usaha mengukuhkan nilai asas kewangan Islam, bertujuan untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat prinsip syariah yang mendasari perkhidmatan kewangan patuh syariah.

Majlis Penasihat Syariah mengenai kewangan Islam, selaku penasihat kepada BNM mengenai perkara syariah, memainkan peranan penting dalam menjelaskan prinsip asas syariah yang utama yang perlu diterapkan dalam perkhidmatan kewangan Islam.

Selain itu, untuk meningkatkan fokus terhadap pengantaraan berasaskan nilai (VBI), industri perbankan Islam dan takaful juga meneroka penggunaan instrumen kewangan sosial seperti wakaf, derma dan pemberian zakat bagi menyedia perkhidmatan kewangan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Penerapan sumbangan kewangan sosial itu membuka peluang kepada usaha menggembleng sumber secara lebih berkesan ke arah penyediaan pembiayaan dan perlindungan kewangan kepada segmen pendapatan rendah dalam bentuk modal benih, modal kerja dan manfaat takaful, kata laporan itu.

“Program kewangan ini boleh memberi impak penting dalam meningkatkan daya tahan kewangan dan kesejahteraan sosial dalam masyarakat,” kata BNM dan menurutnya beberapa program perintis sedang dipelopori dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama.

Artikel Berkaitan:

Program perintis ini akan menjadi model dan pemangkin bagi pembangunan kewangan sosial yang lebih mantap di Malaysia.

Sementara itu, industri kewangan Islam di negara ini berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pembangunan industri halal dan secara kolektifnya, bank Islam telah memperuntukkan dana sebanyak RM20 bilion untuk membiayai perusahaan kecil dan sederhana termasuk perniagaan dalam industri halal.

“Pelbagai penyelesaian kewangan disediakan untuk menangani pelbagai keperluan perniagaan seperti pengurusan tunai dan mudah tunai, modal kerja dan pelaburan, pengurusan risiko dan penyelesaian perlindungan, sewaan peralatan dan jentera serta pembiayaan rantaian bekalan,” katanya. - Bernama