'Main untuk menang lebih penting berbanding permainan cantik'

Pan-gon pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Solomon Island pada Selasa. - Foto Bernama
Pan-gon pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Solomon Island pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, pendekatan bermain untuk menang adalah lebih penting berbanding corak permainan cantik, menjelang aksi persahabatan Tier 1 menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Beliau berkata, dalam persiapan menghadapi cabaran getir saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan, barisan pemain perlu membiasakan diri dengan pelbagai pendekatan untuk menang menentang setiap pasukan dengan taktik berbeza.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, pemainnya dinilai berdasarkan taktikal yang digunakan dalam satu perlawanan pada satu masa, oleh itu, mungkin berbeza daripada penilaian peminat bola sepak dan juga media.

"Kita mempunyai misi yang jelas, terutamanya pada ketika ini menjelang Piala Asia, semua lawan sangat kuat dan kita tidak boleh hanya bermain dengan corak permainan cantik dan ‘menarik’ setiap perlawanan tapi kita perlu bijak dan efektif untuk mencipta kemenangan, jadi pendekatan untuk menang lebih penting.

"Saya tahu ada yang mempunyai jangkaan sendiri untuk melihat corak permainan cantik dan ‘menarik’ tapi ada kalanya dengan cara itu, kita tidak mampu berdepan dengan lawan yang kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan menjelang perlawanan persahabatan itu, di sini pada Selasa.

Matthew (kanan) bersama Pan-gon pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Solomon Island pada Selasa. - Foto Bernama
Matthew (kanan) bersama Pan-gon pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Solomon Island pada Selasa. - Foto Bernama

Pertembungan dijadual berlangsung di gelanggang keramat Terengganu FC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus itu merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan.

Berdasarkan ranking dunia, Malaysia berada di kedudukan ke-138 manakala Kepulauan Solomon di tangga ke-134.

"Semoga kami dapat memberikan kemenangan kepada peminat tapi dalam bola sepak kita tidak tahu, kita akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan semangat kemenangan di laman sendiri dan juga mahu menjadikan rumah kita sebagai kubu - jadi, sesiapa sahaja yang datang ke sini, kita mahu kalahkan mereka - ini adalah budaya pasukan yang mahu kita bentuk,” katanya.

Mengenai kemunculan kembali penyerang Negeri Sembilan FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dalam skuad kebangsaan, Pan-gon berkata, ia memberikan pilihan tambahan di bahagian serangan pasukan.

"Ia peluang baik kepada kita untuk meletakkan pemain lain sebagai eksperimen, saya teruja jika dia melakukannya dengan baik mungkin kita dapat senjata lain,” katanya menurut laporan Bernama

Sementara itu, pengemudi bahagian pertahanan, Matthew Davis percaya jika pemain boleh menterjemahkan taktik dengan baik, mereka boleh memenangi perlawanan esok.

Bagaimanapaun, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 28 tahun itu mengakui Kepulauan Solomon bukan calang-calang pasukan yang boleh dipandang mudah.

"Jika kita ikut taktik diberikan, saya rasa kemenangan menjadi keputusan buat pasukan kita tapi apa yang penting sekarang ini adalah proses, pada masa sama kita tidak boleh pandang mudah lawan. Sukan bola sepak sedang meningkat di rantau mereka, jadi kita tidak boleh pandang rendah,” katanya.

Perang psikologi Kepulauan Solomon

Sementara itu, Ketua jurulatih Kepulauan Solomon, Felipe Vega Arango selesa merendah diri apabila menyifatkan pasukan Malaysia dibarisi pemain berkualiti dan profesional berbanding skuad mereka rata-rata pemain amatur.

Bagaimanapun katanya, status itu tidak menyekat hasrat mereka untuk memburu kemenangan ke atas skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.

Tambahnya, bukan mudah buat mana-mana pasukan untuk mengekalkan rentak kemenangan dan para pemainnya akan memberi tentangan sengit kepada Harimau Malaya.

"Saya sudah mengingatkan kepada semua pemain untuk memberikan aksi terbaik kerana kita tahu Harimau Malaya bukan saja dibarisi pemain bagus, malah ia adalah pasukan profesional.

"Malah, saya juga menjangkakan aksi malam esok (Rabu) perlawanan yang getir dan sukar buat pasukan serta pemain saya," katanya pada sidang media di Kuala Nerus pada Selasa.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, Malaysia sebuah pasukan yang kuat kerana memiliki ramai pemain profesional berbanding skuadnya rata-rata pemain amatur.

"Daripada 23 senarai pemain, hanya tiga pemain berpangkalan di luar negara, manakala seorang sahaja berstatus profesional iaitu Raphael Lea'i yang beraksi dalam Liga Bosnia.

"Walaupun ranking kami lebih baik di tangga 134 berbanding Malaysia 138, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran dan kelebihan buat pasukannya dalam perlawanan itu," katanya.

Arango turut memuji skuad bimbingan Kim Pan-gon itu yang memiliki dua pemain sayap berbahaya yang mampu memberi ancaman kepada pasukan mereka.

“Semua pemain boleh menjadi ancaman, mereka ada dua pemain sayap yang yang hebat. Saya tak tahu nak sebut nama mereka. Pasukan lawan juga ada pertahanan kiri yang hebat (Corbin Ong) yang mempunyai kaps dan bantuan gol yang banyak,” katanya.

Beliau mengakui sudah mengkaji tentang skuad Malaysia tetapi beranggapan semua itu tidak berguna apabila berada di atas padang.

"Sudah pasti, Harimau Malaya akan turun untuk meraih kemenangan dan akan memberi tentangan sengit kepada kami," katanya.

Dalam pada itu, penyerang skuad Bonitos, Joses Nawo teruja untuk menentang Malaysia buat kali pertama.

“Saya tidak sabar untuk perlawanan ini. Ia satu aksi sukar, tetapi saya percaya kami akan berikan cabaran yang hebat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawan terbaik Harimau Malaya