Pencawang baharu beri penduduk Kampung Takis bekalan elektrik lebih stabil - Armizan

PAPAR - Pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sini yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal April ini bakal memberikan penduduk kemudahan bekalan elektrik yang lebih stabil.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek berkenaan yang siap pembinaannya pada 26 Feb lepas, kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, pembinaan kemudahan tersebut adalah susulan aduan penduduk berhubung isu kesusutan voltan di bawah paras nominal 216V di kawasan sekitar sejak sekian lama.
"Keadaan tersebut memberi kesan kepada kelancaran penggunaan elektrik harian malah menyebabkan kerosakan peralatan selain risiko berlakunya litar pintas, sekali gus mengganggu urusan harian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas meninjau projek itu sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Armizan berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) telah mengambil langkah proaktif menyiapkan empat projek pencawang elektrik baharu di kawasan Parlimen berkenaan pada tahun lepas.
Beliau berkata, projek itu membabitkan pencawang di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan yang ketara.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta penduduk menyalurkan aduan rasmi kepada pihak SE mahupun Pejabat Parlimen Papar sekiranya kawasan mereka berdepan isu sama bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. - Bernama
Ringkasan AI
- Pencawang elektrik baharu di Kampung Takis akan memberikan bekalan elektrik yang lebih stabil Projek tersebut siap pada 26 Feb dan kini dalam fasa pemindahan beban dari pencawang asal Dibina susulan aduan isu kesusutan voltan yang mempengaruhi penggunaan elektrik harian dan menyebabkan kerosakan peralatan Armizan Mohd Ali meninjau projek tersebut sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Empat projek pencawang elektrik baharu telah siap tahun lepas di kawasan Parlimen untuk mengatasi masalah gangguan bekalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

