SPRM kemuka tiga syor kepada Sabah Electricity

KOTA KINABALU - Tiga syor penambahbaikan tatakelola dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menerusi Cawangan Penyiasatan Tatakelola kepada Sabah Electricity.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, syor penambahbaikan tersebut membabitkan amalan, sistem dan tatacara kerja dalam pengurusan Jadual Harga Tetap (JHT) bagi kenderaan milik Sabah Electricity.
"Syor pertama ialah mewujudkan satu garis panduan berkaitan pelantikan vendor secara tender atau sebut harga di bawah seliaan Fleet Management Unit, termasuk mengemas kini JHT secara berkala mengikut harga pasaran semasa dan memperluas skop item alat ganti yang kerap digunakan.
"Syor kedua ialah memastikan semua kerja pembaikan dilaksanakan selepas sebut harga diterima, semakan dibuat dan Pesanan Belian (PO) diluluskan, di samping melaksanakan semakan silang yang ketat terhadap invois, alat ganti dan rekod pembaikan.
"Manakala syor terakhir ialah menilai semula beban tugas pegawai penyelia kenderaan di Kawasan Tawau bagi memastikan pengasingan tugas dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memperkasakan kawalan dalaman dan tadbir urus syarikat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, kesemua syor tersebut dibentangkan oleh Mohd Fuad Bee di Ibu Pejabat Sabah Electricity pada Isnin lalu.
Sementara itu, Sabah Electricity menyambut baik kesemua syor penambahbaikan berkenaan yang dizahirkan menerusi majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar dan Mohd Fuad Bee.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham; Ketua Pegawai Operasi Presiden Sabah Electricity, Ir Mohd Riza Zalmee Mohd Chazali; Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Sabah Electricity, June Francisca Abbie@Junainah Abbie; serta Ketua Pegawai Integriti dan Tadbir Urus Sabah Electricity, Hamizah Hussain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
