Al-Quran kunci perpaduan masyarakat

Tunku Azizah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Ahmad Shah UIAM pada 25 Mac tahun lalu.
Tunku Azizah mencemar duli berangkat ke Program World #QuranHour 2025 di Masjid Sultan Ahmad Shah UIAM pada 25 Mac tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyelesaian kepada isu perpecahan dan tekanan hidup dalam masyarakat pada masa ini hanya dapat dicapai apabila umat Islam kembali meletakkan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan.

Penyelaras Rumah Ngaji Selangor dan Kuala Lumpur, Nur Hazwani Ab Rahman berkata, al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam sistem sosial, pentadbiran dan kepimpinan.

Menurutnya, perpecahan dalam masyarakat sering berlaku apabila manusia terlalu bergantung kepada kelompok atau kepentingan tertentu sehingga mengetepikan prinsip yang digariskan ALLAH SWT.

“Jika semua kembali kepada apa yang ALLAH perintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang, kita tidak akan mudah berpecah.

“Pusat kehidupan kita mesti kembali kepada ALLAH, bukan kepada manusia atau kepentingan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai penganjuran World #QuranHour (WQH) tahun ini, Nur Hazwani memberitahu, program itu mengangkat Surah al-Muzzammil sebagai fokus utama dengan mesej yang ingin diketengahkan ialah pembinaan manusia sebagai asas kepada pembinaan dunia.

“Kalau kita lihat dalam Surah al-Muzzammil khususnya ayat ke-20, ALLAH bukan sahaja menyeru supaya mendirikan solat malam, tetapi juga menunaikan solat, menunaikan zakat dan melaksanakan infak.

“Ini menunjukkan pembangunan itu bukan hanya bersifat individu, tetapi melibatkan tanggungjawab sosial,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Nur Hazwani berkata, Surah al-Muzzammil antara yang terawal diturunkan ketika fasa awal dakwah Rasulullah SAW dan turut memberi gambaran cabaran besar yang dihadapi dalam menyampaikan kebenaran.

Artikel Berkaitan:

“Dalam keadaan tertekan dan berdepan penentangan, ALLAH memerintahkan Nabi untuk memperkukuh hubungan dengan-Nya melalui solat malam dan bacaan al-Quran.

“Justeru, kita mahu masyarakat faham perubahan besar mesti bermula dengan pembinaan dalaman,” jelasnya.

Program kemuncak WQH dijadualkan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak serta dilaksanakan serentak di pelbagai lokasi Rumah Ngaji di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Program itu itu juga dijangka dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Ringkasan AI

  • Penyelesaian kepada perpecahan dan tekanan hidup adalah dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan utama
  • Al-Quran perlu diterjemahkan dalam sistem sosial, pentadbiran dan kepimpinan
  • Perpecahan berlaku apabila manusia bergantung kepada kelompok atau kepentingan tertentu dan mengetepikan prinsip ALLAH
  • World #QuranHour tahun ini mengangkat Surah al-Muzzammil sebagai fokus utama untuk pembinaan manusia
  • Kemuncak World #QuranHour dijadualkan berlangsung di UIAM dengan kehadiran Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!