Penduduk Sudan hidup dalam ketakutan

PORT SUDAN - Penduduk bandar El-Obeid di selatan Sudan mengakui mereka kini hidup dalam ketakutan ketika kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) dilaporkan bersiap sedia melancarkan serangan, dengan tentera kerajaan menembak jatuh sebuah dron pada Sabtu.
El-Obeid, ibu negeri Kordofan Utara terletak kira-kira 400 kilometer barat daya Khartoum, merupakan hab penting yang menjadi sasaran strategik RSF sejak konflik dengan tentera bermula pada April 2023.
Walaupun RSF pada Khamis bersetuju dengan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan pihak pendamai, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kumpulan itu dilihat sedang membuat persiapan untuk melancarkan serangan baharu di wilayah Kordofan.
“Kami sangat bimbang selepas apa yang berlaku di El-Fasher,” kata Soaad Ali dari kejiranan Karima di El-Obeid kepada AFP, merujuk kepada kejadian di mana RSF menawan kubu terakhir tentera di Darfur Barat selepas kepungan selama 18 bulan.
Kejatuhan El-Fasher disusuli laporan pembunuhan besar-besaran, keganasan seksual, penculikan dan rompakan, menimbulkan kebimbangan konflik itu bakal merebak ke wilayah Kordofan yang kaya dengan minyak.
El-Obeid yang mempunyai lapangan terbang turut menjadi laluan utama bekalan antara Darfur dan Khartoum.
Bulan lalu, RSF menawan bandar Bara di utara El-Obeid, menyebabkan lebih 36,000 orang melarikan diri dari lima kawasan dalam tempoh seminggu, menurut PBB.
Kumpulan itu dilaporkan menghimpunkan pasukan di Bara bagi merancang untuk menawan semula El-Obeid dan menggesa orang awam menjauhi kawasan tentera.
“Kami hidup dalam ketakutan,” kata seorang penduduk di kejiranan Qubba yang enggan dikenali atas faktor keselamatan.
“Pegawai cuba menenangkan kami, tetapi selepas apa yang berlaku di Bara, ketakutan kami makin meningkat.”
Sumber tentera yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa sistem pertahanan udara berjaya menembak jatuh dron milik RSF yang dilancarkan ke arah El-Obeid.
Kejatuhan El-Fasher dua minggu lalu memberi RSF kawalan penuh ke atas lima ibu negeri di wilayah Darfur serta sebahagian kawasan selatan negara itu.
Tentera Sudan pula masih menguasai kebanyakan wilayah utara, timur dan tengah termasuk ibu negara, Khartoum.
Sejak El-Fasher jatuh, lebih 80,000 penduduk melarikan diri dari bandar berkenaan dan kawasan sekitarnya, menurut PBB.
Pertubuhan Koordinasi Umum Pelarian dan Orang Tersingkir di Darfur memaklumkan lebih 16,000 orang tiba di Tawila dan kini berdepan kekurangan makanan, air dan rawatan perubatan.
Ramai kanak-kanak dilaporkan tiba tanpa ibu bapa mereka.
“Mereka kehilangan ibu bapa di sepanjang perjalanan dengan ada yang hilang dalam kekacauan, ditahan atau dibunuh,” kata Mathilde Vu dari Majlis Pelarian Norway (NRC) kepada AFP.
Butiran cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh AS, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih belum diumumkan secara rasmi.

Seorang pegawai Saudi memberitahu AFP bahawa pelan itu mencadangkan gencatan selama tiga bulan dengan rundingan damai bakal diadakan di Jeddah.
UAE sebelum ini dituduh PBB membekalkan senjata kepada RSF, dakwaan yang telah dinafikan berulang kali.

Sementara itu, tentera Sudan menerima sokongan daripada Mesir, Arab Saudi, Turkiye, Iran dan Rusia.
Gabenor Darfur yang berpihak kepada tentera, Minni Arko Minnawi berkata, gencatan hanya boleh dilaksanakan sekiranya pasukan RSF berundur dari kawasan kediaman dan membebaskan semua tebusan termasuk wanita serta kanak-kanak.
Perang yang berlarutan lebih dua tahun itu telah meragut puluhan ribu nyawa, memaksa hampir 12 juta orang menjadi pelarian dan mencetuskan krisis kebuluran besar-besaran. - AFP
Ringkasan AI
- Penduduk El-Obeid, Sudan hidup dalam ketakutan akibat persiapan serangan oleh RSF
- El-Obeid adalah hab penting dan sasaran strategik RSF
- RSF bersetuju dengan cadangan gencatan senjata tetapi dilihat membuat persiapan untuk serangan baru
- Lebih 36,000 orang melarikan diri dari bandar Bara utara El-Obeid akibat penguasaan RSF
- Perang lebih dari dua tahun telah meragut ribuan nyawa dan memaksa hampir 12 juta orang menjadi pelarian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
