X

Kindly register in order to view this article
!

Bersiap realiti dunia pasca Covid-19

A
A

TUMPUAN seluruh dunia kini adalah melakukan langkah drastik menghadapi Covid19. Masing-masing mencari jalan bagaimana menyekat penularannya. Puluhan malah mungkin ratusan juta di seluruh dunia dalam keadaan " terkunci" ( lockdown ).

Akan tetapi apakah persiapan pasca Covid19, ramai yang belum bersedia membayangkannya. Senario dunia pasti akan berbeza. Ekonomi, politik dan budaya hidup yang akan mendominasi baki tahun - tahun abad 21 ini akan berubah akibat bahana pandemik Covid19.

Dahulu selepas Perang Dunia ke 2, semua elit politik bersepakat merangka order antarabangsa yang baru berasaskan nilai bersama dan saling bergantung. Namun selepas lebih 70 tahun kerangka itu sedikit demi sedikit terongkai. Fenomena globalisasi, merebaknya kemiskinan dan ketiadaan respon yang serius oleh pemimpin elit dunia terhadap kemarahan dan kekecewaan komuniti lokal, menjadikan order baru antarabangsa itu sudah tidak dipedulikan lagi.

Dalam politik nampaknya perubahan kearah kumpulan faham kanan sedang berlaku dari Brazil hingga Hungary dan India serta AS. Polisi eksklusif dan tidak senang dengan pendatang (xenophobia) sedang mendominasi janji-janji kempen ketika pilihanraya. Peraturan semakin ketat dilaksanakan untuk menyekat pendatang asing.

Tetapi adakah tren politik dan polisi ini akan berubah? Adakah suasana politik dunia tidak akan berubah akibat wabak yang merentas semua negara ini?

Walaupun langkah drastik terpaksa diambil oleh negara liberal barat seperti kuarantin dan menghadkan pergerakan rakyatnya sendiri, namun dalam jangka masa panjang ini tidak mungkin boleh berlanjutan. Hubungan antara negara dan pergerakan pekerja menyeberangi sempadan tetap diperlukan.

Pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh rakyat perlu menjawab. Kenapa mereka tidak bersedia menghadapi krisis ini? Ahli politik yang cauvanis dan tidak peduli terhadap krisis alam sekitar perlu menjawab soalan ini.

Akibat Covid19, kerajaan bukan sahaja di Eropah, tetapi dari Latin Amerika hingga Asia Selatan dalam sekelip mata dipaksa bersolidariti dan bekerjasama: kordinasi peraturan perjalanan antarabangsa, berkongsi strategi menguruskan kesihatan awam, mengemaskini dan berkongsi berita domestik, saling bertukar nasihat pakar saintifik. Malah negara perlu berkongsi maklumat mengenai pakej rangsangan ekonomi untuk menangani krisis Covid19 ini.

Pemimpin Eropah juga jengkel terhadap Presiden AS, Donald Trump yang bertindak secara unilateral melarang kemasukan warga Eropah ke AS.

Lebih dari itu isu perang harga minyak antara Arab Saudi dan Russia, memaksa negara-negara di dunia berbincang untuk menangani isu menstabilkan harga minyak di tengah-tengah pandemik ini.

Ahli Kongres AS juga ada yang menyuarakan mengenai keperluan menyemak semula polisi tekanan maksimum ke atas musuh paling utama AS iaitu Iran. Tehran buat pertama kali selepas enam dekad terpaksa memohon bantuan IMF. Demikian Jepun menghulurkan bantuan kepada musuhnya yang paling lama iaitu China bila wabak ini tercetus di China.

Ketika pandemik Covid19 memuncak kredibiliti banyak ahli politik akan berdepan dengan krisis. Trump di AS dan Narendra Modi di India. Biasanya pemimpin populis seperti ini pintar mengguna elemen musuh dari luar untuk mengalih perhatian rakyat bila berdepan dengan krisis. Trump guna imigran yang masuk dari luar, Modi mengguna Islam dan Muslim sebagai ancaman di India.

Soalnya sekarang musuh yang dihadapi seolah ghaib. Tidak dapat dilihat hatta oleh mikroskop biasa. Namun penularan wabak virus corona sangat cepat dan tersebar luas.

Malah Modi dengan segera mengguna telekonferens untuk berbincang dengan kumpulan negara Asia Selatan ( SAARC) untuk mengatasi wabak secara bersama. Padahal selama 5 tahun kebelakangan ini Modi sering mencetuskan ketegangan dengan negara jiran. Modi telah mengenakan lockdown ke atas 8 juta penduduk Kashmir. Komunikasi internet dan telefon digantung. Perintah berkurung 24 jam telah berterusan sehingga kini melebihi 5 bulan.

Akhirnya China di mana wabak ini bermula. Kerajaan Parti Komunis China telah mengenakan kawalan ketat ke atas media sosial seperti aktivis blogger. China terpaksa akur betapa menyekat media sosial menjejaskan usaha menangani isu wabak yang melanda.

Adakah Covid19 akan mencetuskan perubahan politik global? Dua sebab ia boleh berlaku.

Pertama, Covid19 tidak sama dengan perang, gempa bumi atau kebuluran. Koronavirus ini merebak merentas sempadan dan tidak mengenal identiti mana-mana warga. Wabak ini inklusif dan dengan itu penyelesaian juga perlu inklusif.

Kedua, berkait isu krisis sekuriti. Tidak seperti selepas perang dingin, September 11, perang di Iraq, Afghanistan dan Syria. Kali ini mana-mana kerajaan tidak boleh membisukan pengkritik. Pengkritik tidak boleh dituduh tidak patriotik atau tidak setia kepada negara. Bermakna kerajaan terdedah kepada pertukaran regim. Jika parti yang memerintah tidak bijak menangani krisi wabak ini, pasti akan jatuh.

Sama ada sistem pemerintah demokratik atau autokratik, Covid19 mendedahkan kerajaan kepada penelitian rakyat dan pembangkang bagaimana polisi luar dan domestik digubal. Polisi terhadap kerosakan alam, ketidaksaksamaan pendapatan, keselamatan sosial akan berada dibawah penelitian yang sangat kritikal oleh rakyat.

Sudah ada negara yang memohon pinjaman luar dan merayu supaya hutang negara yang terdahulu dimansuhkan. Semada ini dilulus atau tidak, pokoknya urustadbir ( governance ) kerajaan tetap akan dipertanggungjawab ke atas segala polisi dan pentadbiran kerajaan yang memerintah ketika menguruskan krisis wabak ini.

Bila wabak ini reda, pastinya norma perhubungan antara negara akan berubah.

.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!