Apa nasib peniaga jika Covid-19 berterusan sehingga Aidilfitri?

Kerja-kerja disinfeksi di sekitar bangunan kedai di Presint 15. -Foto Bernama
Kerja-kerja disinfeksi di sekitar bangunan kedai di Presint 15. -Foto Bernama
A
A
A

PENULARAN koronavirus (Covid-19) ke negara kita menjejaskan banyak perniagaan melibatkan pelbagai sektor lebih-lebih lagi selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020.

Rata-rata pengusaha terutamanya yang terlibat dalam sektor perniagaan makanan mengeluh panjang kerana perintah tersebut menyebabkan mereka kehilangan jualan.

Segelintir pengusaha yang ditemui di sekitar Lembah Klang mengaku mereka kehilangan lebih 70 peratus jualan harian dalam tempoh seminggu pertama PKP dilaksanakan.

Malah, tidak kurang juga yang membuat andaian sendiri akan menutup perniagaan jika keadaan berterusan kerana tidak lagi mampu menampung kos sewa premis, gaji pekerja dan modal barangan basah dalam keadaan aliran tunai tidak memberangsangkan.

Seorang Pengusaha restoran di Shah Alam, Selangor, Wan Ahmad Jasri Wan Kamarudzaman berkata, beliau menjangkakan hanya mampu bertahan selama sebulan sekiranya pelaksanaan PKP diteruskan.

Walaupun berusaha mengubah strategi bisnes dengan menjual makanan secara pesan bungkus melalui platform Foodpanda, namun beliau menjelaskan cara tersebut mampu menampung 30 peratus sahaja kos harian operasi restorannya.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan untuk pulang ke kampung sekiranya perniagaan makanan yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu terpaksa ditutup susulan keadaan getir dihadapi sekarang.

Kalau diteliti balik, kata-kata pengusaha berasal dari Pahang itu selari dengan kaji selidik dilakukan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang menjangkakan lebih 40 peratus perniagaan lingkup jika Covid-19 berterusan.

Artikel Berkaitan:

Perangkaan tersebut diperoleh hasil kaji selidik terhadap 239 responden melibatkan syarikat pemula niaga dan usahawan sosial dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman.

Dianggarkan, sebanyak 46.4 peratus perusahan akan gulung tikar jika Covid-19 berterusan sehingga Aildilfitri 2020.

Jelasnya, hanya 2.9 peratus responden yakin dapat mempertahankan perniagaan diceburi lebih 12 bulan.

Sememangnya ramai pengusaha bisnes tidak menyangka PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac 2020 disambung lagi sehingga 14 April 2020 bagi mengekang penularan Covid-19 yang dilihat semakin serius dari hari ke hari.

Ramai mula termenung memikirkan kos yang perlu ditanggung dalam keadaan bisnes semakin menguncup dan aliran tunai semakin lemah.

Meskipun kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif kepada pemilik perniagaan agar bertahan namun usaha tersebut dikatakan tidak 100 peratus membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan oprasi perniagaan masing-masing.