Sentuhan kita ini mungkin tak sampai ke kelompok tertentu: Annuar

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Beri maklumat, kita akan bantu mereka sedaya upaya," itu pesanan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kepada individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai maklumat mengenai warga Wilayah Persekutuan yang sukar mendapatkan bekalan makanan.

Annuar berkata, beliau ada melihat rakaman video personaliti tanah air, Ras Adiba Radzi yang menceritakan pengalamannya melihat sendiri golongan kurang bernasib baik berlegar-legar di ibu kota untuk mencari makanan.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan golongan berkenaan namun mendakwa itu adalah kes terpencil.

“Kita tahu di luar sana ada yang dapat bantuan, jangan kita nafikan ada kes terpencil yang ditemui oleh NGO, individu atau jentera barisan hadapan kerajaan. Usah jadikan itu isu atau masalah... yang penting bagaimana cara kita menguruskannya," katanya menerusi sidang media secara live di Facebooknya hari ini.

Beliau turut mencadangkan individu atau NGO menyampaikan maklumat kepada Pusat Pengurusan Krisis (CMC) supaya dapat dibantu.

Annuar berkata, walaupun di bawah inisiatif Wilayah Cakna agihan bantuan sedang disampaikan kepada 100,000 keluarga, peniaga, penjaja tetapi beliau tidak menafikan ada kelompok yang tidak menerima bantuan tersebut.

Menurutnya, pihaknya mengadakan perbincangan mengenai nasib penduduk yang tidak mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam.

“Jadi kita perlukan kerjasama NGO, persatuan penduduk atau individu untuk maklumkan kepada kita. Saya sedia cari jalan selagi kita mampu untuk bantu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ras Adiba menerusi perkongsian video di Instagram berdurasi 3 minit 13 saat menceritakan pengalamannya ketika didatangi dua pejalan kaki yang dipercayai kelaparan.

Beliau berdoa supaya golongan kurang bernasib baik yang berlegar-legar di ibu kota untuk mencari makanan dapat bertahan.

Ras Adiba berkata, difahamkan sebelum ini mereka mendapat bantuan daripada sukarelawan.