Wang tunai RM1,300 disimpan dalam al-Quran selamat dalam kebakaran

Muhamad Syamrul Nazrel menunjukkan wang dalam al-Quran dengan kesan terbakar, namun dipercayai masih boleh ditukar di bank dengan wang baharu.
Muhamad Syamrul Nazrel menunjukkan wang dalam al-Quran dengan kesan terbakar, namun dipercayai masih boleh ditukar di bank dengan wang baharu.
A
A
A

PEKAN - Hanya wang tunai RM1,300 yang disimpan di dalam al-Quran menjadi satu-satunya harta yang terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumah pusaka dihuni enam sekeluarga di Kampung Pahang Tua di sini Sabtu lalu.

Zirahman Zakaria, 45, berkata, wang berkenaan adalah modal anaknya, Muhamad Syamrul Nazrel Aizad, 28, untuk meneruskan perniagaan warung makanan di hadapan rumah mereka.

Katanya, walaupun terdapat kesan terbakar, ia mungkin masih boleh ditukar di bank dengan wang baharu.

"Saya tidak menyangka, al-Quran miliknya (Muhamad Syamrul Nazrel) yang dibaca hampir setiap hari tidak musnah sepenuhnya, mungkin kerana ada kemuliaan pada kitab suci itu.

"Hanya itu yang tinggal, harta benda lain musnah sepenuhnya hingga kami anak beranak kini tinggal sehelai sepinggang," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Keadaan wang yang disimpan di dalam al-Quran tidak terbakar sepenuhnya.
Keadaan wang yang disimpan di dalam al-Quran tidak terbakar sepenuhnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, rumah pusaka berusia lebih 50 tahun berkenaan musnah sepenuhnya dengan anggaran kerugian kira-kira RM30,000.

Zirahman berkata, sebuah kereta jenis Perodua Kenari, lima motosikal serta dokumen peribadi termasuk sijil kelahiran turut musnah dalam kebakaran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, keluarganya kini menumpang di Dewan Orang Ramai Kampung Pahang Tua sementara mendapatkan rumah sewa.

Sementara itu, Muhamad Syamrul Nazrel berkata, wang tunai yang disimpan itu merupakan modal untuk dia meneruskan perniagaan selepas Aidilfitri nanti memandangkan warung diusahakan ditutup sepanjang Ramadan ini.

Wang berkenaan adalah modal untuk meneruskan perniagaan warung makanan selepas Ramadan ini.
Wang berkenaan adalah modal untuk meneruskan perniagaan warung makanan selepas Ramadan ini.

“Saya tidak sangka al-Quran yang disimpan dalam bilik tidak terbakar sepenuhnya. Rezeki masih ada apabila wang di dalamnya masih boleh diselamatkan.

"Saya reda apabila semua harta benda musnah sekelip mata. Lebih memilukan Aidilfitri yang akan datang tanpa keceriaan kerana terpaksa beraya di rumah sewa," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kisah keluarga ini yang agak keberatan membuat persiapan raya sejak awal Ramadan lalu menjadi petanda rumah pusaka yang diduduki sejak kecil musnah dalam kebakaran.

Ringkasan AI

  • Hanya wang tunai RM1,300 disimpan dalam al-Quran terselamat dalam kebakaran rumah pusaka di Kampung Pahang Tua
  • Wang itu adalah modal untuk meneruskan perniagaan warung makanan milik Muhamad Syamrul Nazrel Aizad
  • Rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu musnah sepenuhnya dengan kerugian dianggarkan RM30,000
  • Selain rumah, sebuah kereta dan lima motosikal serta dokumen peribadi termasuk sijil kelahiran turut musnah
  • Keluarga Zirahman kini menumpang di Dewan Orang Ramai Kampung Pahang Tua sementara mencari rumah sewa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!