Rahsia di sebalik secawan kopi: Bukan sekadar penghilang mengantuk

BAGI kebanyakan rakyat Malaysia, aroma secawan kopi pada waktu pagi adalah satu permulaan hari yang seolah-olah sudah menjadi kewajipan.
Kita selalu mengaitkan kopi dengan tenaga segera untuk kekal berjaga ketika bekerja atau belajar.
Namun, di sebalik rasa pahit dan aromanya yang memikat, kopi sebenarnya mempunyai kesan yang sangat menakjubkan terhadap sistem saraf, genetik, dan daya ingatan manusia.
Memahami bagaimana minuman ini berinteraksi dengan tubuh badan bukan sahaja membantu kita menghargai nikmat kesihatan, malah ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita dalam menjaga diri dengan ilmu yang betul.
Sering kali kita terfikir bagaimana kopi mampu memberikan lonjakan tenaga yang pantas.
Hakikatnya, kopi tidak mencipta tenaga baharu di dalam diri kita, sebaliknya ia bertindak dengan cara menghalang isyarat letih di dalam otak.
Di dalam otak kita terdapat satu bahan kimia semula jadi yang dipanggil adenosina yang bertanggungjawab membuatkan kita rasa mengantuk dan letih apabila ia melekat pada penderia saraf.
Molekul kafein di dalam kopi mempunyai struktur yang sangat menyerupai adenosina ini.
Apabila kita meminum kopi, kafein akan bertindak menduduki tempat adenosina tersebut lalu menyekat isyarat letih daripada sampai ke pusat saraf.
Kesannya, kita akan berasa segar, fokus, dan cergas walaupun hakikatnya badan mungkin sedang memerlukan rehat yang cukup.
Namun begitu, tindak balas setiap individu terhadap kopi adalah tidak sama dan ini berkait rapat dengan rahsia genetik yang kita warisi.
Pernahkah anda merasa hairan melihat rakan yang boleh tidur dengan nyenyak walaupun selepas meminum segelas kopi pekat pada waktu malam, sedangkan anda sendiri sudah mula berdebar-debar walaupun hanya meminum secawan pada waktu petang?
Jawapannya terletak pada DNA kita, khususnya pada gen yang mengawal enzim di dalam hati untuk memecahkan kafein.
Mereka yang mempunyai genetik pemproses pantas akan mendapati kesan kafein hilang dengan sangat cepat dari aliran darah.
Sebaliknya, bagi golongan pemproses perlahan, kafein akan kekal lama di dalam badan dan memberikan kesan yang lebih kuat serta berpanjangan.
Selain itu, tahap sensitiviti otak juga dipengaruhi oleh variasi genetik yang menentukan sama ada seseorang itu akan berasa tenang atau sebaliknya menjadi gelisah dan cemas selepas meminumnya.
Dari sudut penjagaan minda jangka panjang, kopi sebenarnya bertindak sebagai perisai yang hebat terhadap penyakit nyanyuk atau demensia.
Berita baik buat peminat kopi kerana kajian besar-besaran melibatkan lebih daripada 130,000 individu mendapati bahawa pengambilan kopi secara sederhana iaitu sekitar dua hingga tiga cawan sehari atau bersamaan lebih kurang 300 mililiter hingga 690 mililiter boleh menurunkan risiko penyakit nyanyuk sebanyak lapan belas peratus.
Jumlah ini membekalkan sekitar 200 miligram hingga 500 miligram kafein yang mana bahan antioksidannya berfungsi melindungi rangkaian saraf dan mengurangkan kadar keradangan pada otak.
Lebih menakjubkan, ia membantu menghalang pembentukan plak serta protein toksik yang menjadi punca utama kepada penyakit Alzheimer.
Ini menunjukkan bahawa kopi merupakan pelaburan untuk kesihatan otak pada masa hadapan jika diambil dengan kaedah yang betul.
Walau bagaimanapun, cara kita menyediakan kopi memainkan peranan yang sangat kritikal terhadap tahap kolesterol badan.
Kopi yang ditapis menggunakan kertas penapis adalah pilihan yang lebih baik kerana proses penapisan tersebut menyingkirkan sebatian lemak yang boleh meningkatkan kadar kolesterol jahat dalam darah.
Sebaliknya, kopi yang tidak ditapis, direbus, atau direndam secara terus seperti kopi stail kampung atau kopi serbuk tradisional mengandungi tahap lemak semula jadi kopi yang lebih tinggi.
Dalam jangka masa panjang, pengambilan lemak kopi yang tidak ditapis secara berlebihan ini terbukti boleh meningkatkan kadar kolesterol jahat dalam badan yang kemudiannya menyumbang kepada masalah jantung serta meningkatkan risiko gangguan minda bagi individu tertentu.
Sebagai kesimpulan, kopi adalah minuman yang kaya dengan kebaikan untuk otak, daya ingatan, dan metabolisme tubuh manusia.
Walau bagaimanapun, kebaikan ini bukanlah lesen untuk kita mengambilnya secara berlebihan sehingga menjejaskan kualiti tidur atau menyebabkan jantung berdegup terlalu laju.
Pakar menyarankan agar pengambilan kafein dihadkan kepada kadar yang sederhana, iaitu sekitar tiga hingga empat cawan sehari, dan yang paling penting adalah mengelakkan penambahan gula atau susu pekat manis yang melampau.
Akhir sekali, nampaknya otak dan kopi kita ada cara tersendiri untuk 'berpakat'.
Tatkala otak mengadu sudah tidak larat dan mahu tidur, kopi dengan selamba memujuk, 'Relaks, mari kita buat-buat macam kita tak letih langsung.' Walau apa pun, pastikan anda peka dengan signal badan sendiri dan hargailah setiap hirupan kopi anda dengan berpada-pada supaya kekal sihat dan bertenaga.
* Dr Azril Shahreez Abdul Ghani ialah Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan di Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) manakala Prof. Madya Dr. Wael Mohamed Yousef Mohamed ialah Pakar Perubatan Saintis Neuro dan Pensyarah farmakologi di Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
