Peluang untuk runding semula ART dengan AS

KEPUTUSAN Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang membatalkan sebahagian besar tarif global yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa 1977 (IEEPA) telah mencetuskan gelombang ketidaktentuan baharu dalam perdagangan dunia.
Sejurus selepas itu, pentadbiran Trump bertindak balas dengan mengenakan tarif sementara 15 peratus dengan menggunakan Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.
Perkembangan ini wajar dilihat bukan sekadar sebagai episod ketidaktentuan tetapi sebagai peluang strategik untuk menilai dan merunding semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang dimeterai dengan Washington pada Oktober tahun lalu.
Rundingan semula ini penting bagi mengurangkan risiko terperangkap dengan AS dan risiko dipinggirkan oleh China.
Risiko terperangkap dengan AS
Meskipun perjanjian ART telah mengurangkan kadar tarif dari 25 peratus kepada 19 peratus, dan 0 peratus tarif ke atas 1,711 produk utama, ia dilihat berat sebelah dan merugikan negara.
Apa yang lebih membimbangkan, ia berisiko memerangkap Malaysia dalam kerangka keselamatan ekonomi AS apabila beberapa peruntukan ART mendesak Malaysia untuk menyelaraskan dasar dengan langkah-langkah sekatan AS terhadap pihak ketiga.
Langkah-langkah ini menyasarkan China dalam sektor teknologi dan semikonduktor walaupun China tidak disebut secara langsung.
Sebagai contoh, sekiranya AS mengenakan sekatan termasuklah kawalan eksport ke atas negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau kepentingan negara, Malaysia hendaklah mengguna pakai atau mengekalkan langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara.
Malaysia juga perlu bekerjasama dalam mengehadkan urus niaga dengan pihak yang tersenarai dalam senarai entiti AS, dan bekerjasama dengan AS dalam isu keselamatan pelaburan masuk termasuklah sektor mineral kritikal dan infrastruktural strategik.
Selain itu, Malaysia perlu berunding dengan AS sebelum memasuki perjanjian perdagangan digital baharu dengan negara lain yang boleh menjejaskan kepentingan AS.
Klausa-klausa ini mewujudkan risiko pemerangkapan di mana Malaysia tidak dipaksa menyertai pakatan formal menentang China tetapi secara beransur-ansur diselaraskan dengan kerangka keselamatan ekonomi AS.
Ia mengekang autonomi Malaysia dalam merencana dan melaksanakan dasar perdagangan dan ekonomi mengikut model pembangunan tersendiri.
Risiko dipinggirkan oleh China
Pada masa yang sama, Malaysia juga berisiko dipinggirkan oleh China disebabkan oleh persepsi penjajaran Malaysia dengan kerangka keselamatan ekonomi AS. Risiko ini nyata kerana Beijing telah menyuarakan kebimbangan serius mengenai ART.
Persepsi terhadap Malaysia sebagai negara yang mengamalkan kawalan eksport AS akan mendorong syarikat China untuk menilai semula kepentingan strategik Malaysia dalam penempatan operasi sensitif yang merangkumi pembuatan maju, rantaian bekalan berkaitan semikonduktor dan pelaburan berintensif teknologi.
Situasi ini dipertingkatkan dengan persepsi mekanisme penapisan pelaburan terutamanya dalam sektor mineral kritikal dan infrastruktur strategik yang dilihat selari dengan keselamatan nasional AS.
Walaupun Malaysia melaksanakan penapisan tersebut secara neutral, persepsinya boleh mengukuhkan tanggapan bahawa modal China tertakluk kepada penelitian tambahan.
Justeru, modal dan rantaian bekalan China mungkin beralih secara beransur-ansur ke negara yang dianggap kurang terdedah kepada pengawasan AS.
Dari segi diplomatik, Malaysia akan kehilangan kepercayaan strategik dari China dan juga reputasinya sebagai negara yang bersifat neutral.
Situasi ini bakal meletakkan Malaysia di kedudukan yang sukar dalam perbincangan dan rundingan dua hala dengan China, menyukarkan konsesi ekonomi dicapai dan mengurangkan daya tarikan negara dalam membangunkan kerjasama dan projek berprofil tinggi dengan China.
Rundingan semula lebih pragmatik
Berdasarkan risiko terperangkap dengan AS dan dipinggirkan oleh China, kerajaan tiada pilihan melainkan merunding semula ART dengan AS.
Namun, rundingan semula ini perlu dibuat secara berhemah dan berhati-hati memandangkan Presiden Trump telah memberi amaran bahawa mana-mana negara yang cuba bermain helah dengan keputusan mahkamah akan dikenakan tarif lebih tinggi.
Amaran ini juga merupakan satu justifikasi mengapa kerajaan perlu memilih untuk berunding semula dan bukannya membatalkannya.
Dalam rundingan semula ini, kerajaan perlu memperhalusi klausa yang kontroversial demi melindungi autonomi negara. Kerajaan wajar menegaskan secara jelas bahawa semua pelaksanaan ART tertakluk kepada kepentingan dan kedaulatan Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.
Penegasan ini penting untuk menunjukkan bahawa klausa keselamatan tidak bersifat automatik dan masih memerlukan penilaian domestik.
Langkah ini tidak hanya melindungi autonomi negara tetapi juga mengekalkan persepsi bahawa Malaysia masih mempunyai ruang budi bicara dan tidak menjadi sebahagian daripada 'perimeter penguatkuasaan' Washington bagi meredakan kebimbangan China.
Bagi mengurangkan risiko dipinggirkan oleh China, kerajaan perlu meneroka memorandum persefahaman (MOU) baharu dengan China yang merangkumi sektor-sektor strategik antara kedua-dua negara.
MOU ini merupakan satu isyarat bahawa Malaysia masih komited untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan teknologi dengan China walaupun telah memeterai ART dengan AS.
Pengekalan dasar sama jarak (equidistance) dengan kedua-dua kuasa besar ini penting bagi memperkukuhkan strategi lindung nilai (hedging) negara.
Pada masa yang sama, komitmen Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa proses semakan semula ART akan melibatkan kaukus parlimen dwipartisan perlu disokong sepenuhnya.
Keterlibatan pembangkang dan pihak berkepentingan bukan sahaja memberikan legitimasi domestik kepada sebarang keputusan, malah memperkukuhkan keupayaan berunding negara dengan mana-mana pihak.
Dalam konteks persaingan AS-China yang semakin meruncing, ART bukan sekadar perjanjian perdagangan tetapi mempunyai implikasi geopolitik yang boleh menjerumuskan Malaysia dalam kerangka keselamatan ekonomi AS dan berisiko menyebabkan negara dipinggirkan oleh China.
Justeru, kerajaan perlu memanfaatkan peluang daripada keputusan Mahkamah Agung AS untuk mengadakan rundingan semula ART. Bagi menjamin keberkesanan, rundingan semula ini perlu bersifat pragmatik dan berhemah, mempunyai strategi yang jelas, dan memanfaatkan sokongan domestik serta koordinasi serantau.
*Dr Zaharul Abdullah ialah Pensyarah Kanan Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
