Pelaburan global tonggak pulangan KWSP

SABAN tahun, para pencarum KWSP terutama pencarum aktif warganegara Malaysia yang kini berjumlah 8.2 juta orang akan menantikan pengumuman kadar dividen.
Mana tidaknya, waktu pengumuman dividen ini dilaksanakan dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Sudah tentu pencarum yang beragama Islam akan menunggu berita ini dengan sabar dan teliti.
Kadar dividen yang diumumkan adalah 6.15 peratus bagi kedua-dua skim iaitu Skim Simpanan Konvesional dan Skim Simpanan Shariah.
Kadar ini dilihat rendah berbanding tahun 2024 iaitu 6.3 peratus bagi kedua-dua skim. Dua sebab utama yang menyumbang kepada prestasi tersebut. Pertama, kelembapan pasaran saham tempatan yang mana indeks FBMKLCI hanya meningkat sebanyak 2.3 peratus bagi tahun 2025.
Manakala indeks-indeks pasaran saham utama global seperti S&P 500, Nasdaq, UK FTSE dan Nikkei 225 meningkat sebanyak 16.4 peratus, 20.4 peratus, 21.5 peratus dan 26.2 peratus.
Selain daripada itu, peningkatan matawang ringgit berbanding dolar AS sebanyak 10.1 peratus bagi tahun 2025 telah menyebabkan pulangan pelaburan dalam matawang asing menjadi kecil apabila ditukar kepada matawang ringgit.
Meskipun demikian, kadar dividen ini masih lagi dalam trajektori yang baik kerana ia masih melebihi purata jangka panjang inflasi negara iaitu 2.5 peratus.
Ini bermakna simpanan para pencarum tidak terjejas akibat kenaikan inflasi serta dapat mengembangkan nilai pokok pelaburan mereka.
Oleh itu, kadar dividen yang diumumkan seharusnya menjadi berita baik kepada para pencarum KWSP. Walaubagaimanapun, jika diperhatikan dari segi profil pendapatan pelaburan KWSP, terdapat keperluan untuk menambahbaik dari segi strategi pelaburan global.
Ini adalah pendapatan daripada pasaran global mewakili sejumlah yang besar iaitu 50.4 peratus daripada jumlah pendapatan yang dijana sepanjang tahun 2025.
Angka ini dicapai dengan pendedahan sebanyak 38 peratus daripada jumlah aset KWSP dengan nilai yang berjumlah RM539 bilion.
Pecahan aset pelaburan luar negara adalah 69 peratus di dalam pelaburan ekuiti awam, 22 peratus di dalam ekuiti swasta dan 9 peratus di dalam pelaburan instrument pendapatan tetap.
Berdasarkan angka ini, jelas menunjukkan bahawa KWSP mempunyai potensi untuk menjana pendapatan pelaburan yang lebih daripada pelaburan global.
Perkara ini memerlukan perbincangan yang lebih terperinci bersama organisasi seperti Bank Negara Malaysia kerana ia boleh memberi kesan kepada imbangan pembayaran.
Selain itu, ia bakal memberi implikasi kepada pendedahan KWSP di dalam pasaran ekuiti tempatan terutamanya syarikat-syarikat yang berkaitan kerajaan atau GLC.
Ini adalah kerana KWSP perlu memikirkan strategi pelaburan mereka di Malaysia kerana terdapat keperluan untuk mengimbangi semula portfolio yang sedia bagi meningkatkan pendedahan terhadap pelaburan global.
Sekiranya dapat dilaksanakan ia boleh membantu dalam meningkatkan penyertaan pelabur asing di dalam pasaran ekuiti tempatan.
Buat masa ini peratusan penyertaan para pelabur asing di dalam pasaran ekuiti tempatan adalah 19.2 peratus setakat bulan Januari 2026 berbanding 25.2 peratus yang pernah dicapai pada bulan Mei tahun 2013.
Penyertaan pelabur asing di dalam pasaran ekuiti tempatan penting kerana ia boleh membantu meningkat daya saing melalui penentuan harga-harga saham dengan lebih cekap.
Selain itu, ia boleh menjadi pemangkin kepada pasaran tempatan disebabkan keperluan syarikat-syarikat yang tersenarai untuk meningkatkan tahap tadbir urus serta pematuhan terhadap aspek kelestarian seperti ESG.
Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, sudah pasti indeks FBMKLCI dapat dilonjakkan dengan lebih tinggi.
Kali terakhir indeks FBMKLCI mencapai paras tertinggi adalah pada paras 1,895.2 yang dicatatkan pada 19 April 2018. Ringkasnya, dividen 2025 adalah baik tetapi usaha penambahbaikan perlu dilaksanakan melalui peningkatan pendedahan pelaburan luar negara.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

