Kolam penyu di tapak Pesta Pelita Raya Terengganu 2026 diarah tutup

Video memaparkan seekor penyu diletakkan di dalam ruang kolam yang sempit di sebuah pavilion sempena Pesta Pelita Raya Terengganu 2026, Gong Badak, Kuala Nerus tular di media sosial.
Video memaparkan seekor penyu diletakkan di dalam ruang kolam yang sempit di sebuah pavilion sempena Pesta Pelita Raya Terengganu 2026, Gong Badak, Kuala Nerus tular di media sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan penutupan serta-merta sebuah pameran kolam penyu di tapak Pesta Pelita Raya Terengganu 2026, Gong Badak, Kuala Nerus pada petang Ahad.

Langkah itu diambil susulan laporan oleh badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar mengenai keadaan hidupan marin tersebut yang dijadikan tarikan oleh pemilik sebuah gerai atau pavilion sempena program berkenaan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, beliau telah mengarahkan penganjur bertindak segera sebaik menerima aduan daripada NGO terbabit.

Menurut Razali, pameran sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyu merupakan hidupan yang dilindungi di bawah undang-undang serta sangat sensitif terhadap gangguan cahaya terang.

"Tindakan drastik segera diambil oleh pihak penganjur, iaitu Jabatan Pelancongan sendiri.

​"Pihak saya difahamkan kolam yang dikendalikan oleh Pejabat Daerah Dungun itu telah dialihkan keluar petang semalam dan saya sangat berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Susulan insiden itu beliau berkata, semua pemilik gerai dan pavilion di tapak pesta berkenaan perlu lebih peka dalam merancang aktiviti tarikan pengunjung.

"Setiap penganjuran haruslah mempunyai sensitiviti tinggi, terutama yang melibatkan hidupan liar agar tidak mencalarkan imej penganjuran program negeri," ujarnya.

Terdahulu, video memaparkan seekor penyu diletakkan dalam ruang kolam yang sempit tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Tindakan tersebut mengundang kemarahan netizen dan golongan pencinta haiwan yang menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap spesies marin berkenaan.

Ringkasan AI

  • Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mengarahkan penutupan pameran kolam penyu di Gong Badak
  • Langkah ini diambil susulan laporan NGO tentang keadaan penyu yang dijadikan tarikan
  • Exco Terengganu mengarahkan penganjur bertindak segera setelah menerima aduan
  • Penyu dilindungi undang-undang dan sangat sensitif terhadap cahaya terang
  • Semua pemilik gerai harus lebih peka merancang aktiviti agar tidak menjejas hidupan liar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!